Assalamualaikum

Assalamualaikum
INILAH SAYA ....

Wednesday, 2 October 2013

6 sifat sombong



SOMBONG DAN TAKABBUR


Sedarlah hakikat kehidupan didunia, tiada yang lebih baik kecuali iman dan takwa.

Firman Allah swt :

إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَالَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ قُلُوبُهُمْ مُنْكِرَةٌ وَهُمْ مُسْتَكْبِرُونَ لَا جَرَمَ أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا يُسِرُّونَ وَمَا يُعْلِنُونَ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْتَكْبِرِينَ

Tuhan kamu yang berhak disembah ialah Tuhan yang satu Maha Esa, oleh itu, orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat hati mereka ingkar dan sikap zahir mereka sombong takabbur menentang kebenaran, sebenarnya bahawa Allah mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan, sesungguhnya ia tidak suka kepada orang-orang yang sombong takabbur. ( Surah An-nahli: 22-23 ).






Takabbur, sombong, bongkak, angkuh dan adalah sifat yang tercela dalam Islam, sifat yang dibenci oleh Allah Subahanu wataala dan Rasulnya. Kerana itu kita ditegah dari bersikap sombong dan membangga diri.



Firman Allah swt;

وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ

Maksudnya; Dan janganlah engkau memalingkan muka-mu kerana memandang rendah kepada manusia dan janganlah engkau berjalan dibumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takabbur lagi membangga diri.” Luqman:18.



Sifat sombong dan takabur menjerumuskan kepada kebinasaan dan kekufuran. Firman Allah swt;

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَى وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ

Maksudnya; Dan ingatlah ketika kami berfirman kepada malaikat,Tunduklah beri hormat kepada Nabi Adam, Lalu mereka sekalianya tunduk memberi hormat melainkan iblis ia enggan dan takabbur dan menjadilah ia dari golongan yang kafir. al-Baqarah:34.






Orang yang sombong menganggap dirinya lebih tinggi atau mulia dari orang lain, angkuh dan megah kerana keturunan dan harta kekayaan yang dimiliki, bangga diri kerana kedudukan, pangkat, kecantikan rupa atau kepandaian yang melebihi dari orang lain.






Tidak guna kita merasa sombong dengan apa yang ada pada kita, kerana sesungguhya semua itu adalah milik Allah, dan kita diberi pinjaman diatas kurnia tersebut supaya digunakan dalam kehidupan didunia ini. Allah Subahanahu Wataala Yang Maha Berkuasa, kalau ia berkehendak semua pinjaman itu boleh ditarik balik pada bila-bila masa, tidak mustahil segala kesenangan yang dinikmati masa kini akan hilang.



Sifat sombong dan takabbur boleh dibahagikan kepada tiga bahagian:-






Pertama:




Sombong kepada Allah Subahanau Wataala: iaitu apabila kita mengabaikan atau tidak menghiraukan terhadap suruhan-suruhan yang telah diperintahkan oleh Allah Subanahu Wataala, tidak takut kepada ancamannya serta meremehkan pula syariat agama. Sesungguhya Allah telah menjanjikan balasan yang buruk kepada orang yang bersikap sombong.

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Maksudnya Dan Tuhan kamu berfirman: berdoalah kamu kepada-ku nescaya aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takabbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.






Kedua:




Sombong kepada Rasul: Iaitu dengan tidak mahu mengamalkan ajaran dan sunnah Nabi Muhammad saw, menghina dan memperlekehkan ajaranNya dan Sunnahnya sebagimana sikap orang kafir Quraisy yang menentang dengan anggapan bahawa Nabi Muhammad saw adalah seorang anak yatim yang tidak berharta dan tidak layak untuk menjadi pemimpin. Akhirnya mereka mati dalam keadaan kufur disebabkan oleh keegoan dan kesombongan sendiri.






Ketiga:




Sombong terhadap sesama manusia: Ada beberapa kelakuan yang menunjukkan diri seseorang sebagai orang yang sombong;




1.Memandang diri lebih dari orang lain, lebih mulia, lebih alim, lebih kaya, lebih cantik dan sebagainya.

2.Tidak boleh menerima teguran, kritikan atau nasihat orang lain.

3.Tidak suka bergaul dengan orang ramai lebuh-lebih lagi dengan orang yang dirasakan lebih rendah statusnya.

4.Suka dipuji dan sentiasa mengharapkan pujian orang lain.



Balasan orang yang sombong.




Takutlah .... dari terus menjadi orang yang sombong, bongkak dan takabbur kerana balasan yang bakal diterima amatlah buruk

Firman Allah swt;

فَادْخُلُوا أَبْوَابَ جَهَنَّمَ خَالِدِينَ فِيهَا فَلَبِئْسَ مَثْوَى الْمُتَكَبِّرِينَ

Maksudnya: Oleh itu, masukilah pintu-pintu neraka, tinggal kekallah kamu didalamnya, maka sesungguhnya neraka itu seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takabbur. Al-Nahl:29.





Mengelakkan sifat sombong dan takabbur;
Menjaga tutur kata dan perilaku kita supaya sentiasa dalam keadaan baik.
Bergaul dalam masyarakat tanpa mengira darjat, pangkat dan keturunan. Sebagaimana peribadi Rasulullah saw yang tidak pernah berlaku sombong. Baginda dengan Ikhlas menziarahi sahabat baginda yang ditimpa sakit atau kesusahan, mebantu sesiapa saja yang memerlukan pertolongan, memenuhi undangan apabila dijemput bahkan baginda sendiri pernah turut sama membantu umat Islam menggali longkang ketika bersiap sedia hendak menghadapi peperangan khandak.
Tingkatkanlah iman dan takwa
Takutkan siksaan Allah swt

Tuesday, 19 March 2013

SUAMI YANG MEMENUHI KEWAJIPAN






A. Suami Teladan ialah:

- Suami yang selalu mengerjakan perintah Allah dan menjauhkan laranganNya. Selalu menjaga hubungan dengan isterinya serta melaksanakan tanggungjawab sesuai dengan kemampuannya. Ia selalu berterus terang dengan isterinya. Jika ia mempunyai kekurangan,ia akan menyatakan kepada isterinya.

- Suami yang baik, tidak menyembunyikan rahsia yang tidak disenangi isterinya. Apabila berkata-kata dengan isterinya dengan cara lembut dan bersopan santun.

- Suami yang soleh, selalu membimbing isterinya, menghiburkan isterinya, berbincang-bincang, menghargai pandangan isterinya dan sebagainya.

- Suami yang menganggap isterinya sebagai kekasih dan sahabat. Tidak mudah cemburu. Mempunyai keyakinan dan menaruh kepercayaan terhadap isterinya.

- Suami yang bijaksana, suami yang sanggup menjadi pemimpin rumahtangga. Suami yang layak menjadi pemimpin sekurang-kurangnya mempunyai ciri-ciri berikut iaitu :-


1. Tubuh badan yang sempurna sanggup melaksanakan tanggupjawabnya dengan kesempurnaan anggotanya. Ini bermaksud selagi mampu memenuhi keperluan zahir dan batin.

2. Akal fikiran yang sempurna
- berfikiran positif.

3. Pengetahuan agama yang sempurna
- untuk membimbing ahli keluarganya mengamalkan ajaran agama sebagai panduan hidup.

4. Membelanjakan sebahagian harta
- mencari nafkah untuk menyara hidup ahli keluarganya

B. Keperibadian Suami Yang Menjadi Impian Isteri


1. Penuh kerinduan dan kasih sayang
2. Mencintai
3. Gagah dan berakhlak mulia
4. Kaya dan bijaksana
5. Memberikan cahaya kehidupan
6. Menegakkan kebenaran
7. Mulia di sisi Allah

C. Ciri-ciri Suami Teladan

- suami yang soleh yang sentiasa menjalankan perintah Allah
- suami yang tidak sanggup melihat isterinya meringankan perintah Allah
- suami yang bersikap mahu memaafkan dan membetulkan kesalahan isterinya.
1. Ciri-ciri suami yang soleh ialah:


a. Mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya dengan mengerjakan segala perintah dan menjauhi segala larangan.

b. Mendirikan rumahtangga semata-mata kerana Allah SWT

c. Melayani dan menasihati isteri dengan sebaik-baiknya

d. Menjaga hati dan perasaan isteri

e. Sentiasa bertolak ansur dan tidak meminta sesuatu yang diluar kemampuan isteri

f. Bersabar dan menghindari daripada memukul isteri dengan pukulan yang memudaratkan

g. Jangan mengeji isteri di hadapan orang lain ataupun memuji wanita lain di hadapan isteri.

h. Bersabar dan menerima kelemahan isteri dengan hati yang terbuka.

i. Mengelakkan daripada terlalu mengikut kemahuan isteri kerana ia akan menjejaskan imej dan prestasi suami sebagai pemimpin.

j. Memberi nafkah kepada keluarga mengikut kemampuan.

k. Menyediakan keperluan dan tempat tinggal yang selesa.

l. Bertanggungjawab mendidik akhlak keluarganya.

m. Sentiasa mengambil berat tentang keselamatan mereka.

n. Memberikan kasih sayang dan berkorban untuk kepentingan dan kebahagiaan bersama.

2. Syarat mendirikan rumahtangga Islam agar mendapat keredhaan Allah SWT iaitu:


a. Ahlinya berpendidikan Islam, berjiwa teguh, tenang dan damai.

b. Suasana rumahtangga sentiasa riang dan penuh kegembiraan.

c. Rumahtangga sentiasa bersih dan selesa.

d. Rumahtangga yang sentiasa memelihara dan menjauhi daripada perkara-perkara haram dan syubhat.

e. Ahli-ahlinya bersolat secara berjemaah.

f. Bersih hati, pancaindera dan anggota badan serta menjauhi sifat-sifat yang berlebih-lebihan ketika bersolek.

g. Memuliakan dan menghormati agama serta memandang tinggi akan nilai-nilai keperibadian muslim.

h. Anggota keluarga memiliki kesefahaman dan bijaksana dalam mentadbir rumahtangga.

i. Memilih calon suami/isteri berasaskan Islam.

j. Rumahtangga hendaklah sentiasa ke arah kebaikan dan kebajikan.

k. Dakwah Islamiah sentiasa terlaksana dalam rumahtangga.

D. Suami yang penuh sentuhan kasih

Ada 10 nasihat untuk suami dalam memahami hubungannya dengan isteri :-


1. Bersikap tegas dan lemah lembut terhadap isteri,

Betapapun seorang wanita itu mempunyai kemampuan dan kemahuan yang tinggi, memiliki kemahiran serta percaya terhadap diri sendiri namun pada hakikatnya, ia masih ingin mencari perlindungan dengan seorang lelaki. Jika keinginan mencari perlindungan itu datangnya dari wanita, namun selalulanya ia merahsiakannya. Seandainya hajat nya tercapai, ia mengharapkan layanan yang lemah lembut dan amat mengharapkan perlindungan dari lelaki yang bertanggungjawab.

Sifat lemah lembut dan tegas ini harus dimiliki oleh lelaki kerana setiap isteri mengharapkan suaminya mampu menjadi pemimpin dalam rumahtangga yang dibina. Menjadi pemimpin bukan bermaksud menjadi "boss". Sifat tegas dan lemah lembut ini biarlah kena pada tempatnya.

2. Memberi pujian terhadap isteri,

Peranan wanita sebagai ibu menyebabkan ia perlukan perlindungan daripada keyakinan. Hanya suami yang bijaksana dapat memberikan keyakinan kepada isterinya. Dengan cara memberikan penghargaan seperti pujian, hadiah ataupun ungkapan yang boleh menambahkan keyakinan dalam diri isteri.

Jangan merasa hairan jika seorang wanita selalu bertanya kepada pasangannya, "Adakah engkau cinta padaku? ". Pertanyaan ini bukan bermakna ia tidak percaya kepada pasangannya tetapi ia menginginkan keyakinan untuk dirinya. Oleh itu, suami usah jemu dengan ungkapan itu, malah berusahalah untuk mengerti hakikat seorang wanita.

3. Menentukan batas tanggungjawab, Islam telah mengatur,

tanggungjawab terhadap suami dan isteri. Suami berkewajipan mencari nafkah yang halal untuk kelurganya dan isteri pula berkewajipan melayan suami serta mengasuh anak-anak.

Ini bukan bermakna tanggungjawab lain patut diabaikan, malah semua
tanggungjawab lain seharusnya dipikul bersama mengikut keadaan masa
dan tempat.

4. Menghindari kritikan terhadap isteri,

Kritikan bukan satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah. Ia
boleh dilakukan, namun biarlah dengan lembut dan bertempat. Jangan
sesudah bernikah, suami merasa berhak berkasar, mengkritik dan menghina isteri sewenang-wenangnya kerana banyak kesannya pada isteri.

Suami yang terlalu banyak mengkritik isteri akan meninggalkan
kesan negatif terhadap isterinya iaitu:

a. Perasaan isteri menjadi tertekan akibat menahan marah

b. Menimbulkan pelbagai jenis penyakit fizikal akibat daripada
perasaan kecewa dan tekanan batin.

c. Isteri menjadi pemarah, pendiam, kadangkala hilang keinginan
untuk bersama.

d. Akibat selalu dikritik serta tidak dihargai, isteri akan
kehilangan identiti dirinya sendiri.

e. Untuk menyenangkan hati, isteri akan menyalahkan anak-anak.

f. Jika perasaannya terlalu tertekan, mungkin ia inginkan perceraian.
5. Memperhatikan sesuatu yang romantik,

Suami seringkali kurang memperhatikan keperluan yang tidak begitu penting seperti ulangtahun isteri, perkahwinan dan sebagainya. Namun bagi wanita, hal sebegitu penting. Cinta bukan hanya berkaitan dengan perasaan tetapi juga berkaitan dengan aktiviti romantik yang mempunyai nilai yang bererti dalam diri wanita.

Mungkin sesuatu yang tidak bererti pada lelaki namun ianya amat bernilai pada wanita. Oleh itu suami harus banyak mempelajari keperluan isteri dan tidak menganggap remeh terhadap kepentingan isteri.

6. Memahami isteri yang ingin selalu di samping suami,

Setiap isteri selalu menginginkan serta merindukan untuk selalu bersama suaminya. Isteri selalu mengharapkan perhatian yang cukup dari suaminya. Kerana itu, suami yang baik akan berusaha meluangkan masa untuk bersama isterinya. Selalu bersama boleh meningkatkan kasih sayang.

7. Menjaga perasaan aman dalam kehidupan isteri,

Suami yang bertanggungjawab akan selalu memberikan rasa aman dan
tenteram terhadap perasaan isterinya, selalu berusaha menyelesaikan
setiap masalah rumahtangga dengan secepat mungkin. Berusaha membantu menyelesaikan masalah isteri.

8. Memahami gelora jiwa isteri,

Wanita lebih mudah mengalami perubahan emosi jika dibandingkan
dengan lelaki. Jika suami dapat menerima hakikat perubahan emosi
isterinya, maka isterinya pasti dapat menerima suaminya sebagai org
yang dapat membimbing hidupnya.

9. Membina kerjasama yang baik,

Suami yang boleh diajak berbincang dan selalu bekerjasama dengan
isterinya akan mampu mengujudkan keluarga bahagia.

10. Memenuhi keperluan peribadi,

Tidak ada dua wanita di dunia ini yang sama, kerana masing-masing
memiliki peribadi yang khusus. Wanita mempunyai sifat yang unik baik
dari segi emosi maupun keinginan. Suami yang bijaksana akan mudah
memahami akan keperluan peribadi isterinya dan mampu melaksanakan
tanggungjawabnya sesuai dengan kemampuan dirinya.


E. Kewajipan Suami Dalam Rumahtangga


1. Memenuhi mas kahwin isteri secara sempurna

2. Memberi nafkah kepada isteri

3. Menggaulinya dengan baik

a. Memberi nafkah sesuai dengan kemampuan
b. Sentiasa berbincang dengan isteri dalam segala hal
c. Mengajak isteri bergurau senda, berlaku lemah lembut kepadanya, menghiburkan isteri supaya hatinya sentiasa gembira.
d. Memaafkan lkeslaahan isterinya apalagi terhadap isteri yang berbudi pekerti mulia.
e. Di hadapan isteri hendaklah menunjukkan keindahan dan kebaikan kerana isterinya juga menyenangi apa yg disenangi oleh suaminya.
f. Membantu isteri dalam urusan rumahtangga terutama apabila isteri sakit atau sibuk dengan pekerjaannya.
g. Tidak membuka rahsia isteri serta memperkatakannya dihadapan umum.
h. Melindungi isteri dari api neraka.

4. Cemburu hanya kerana agama dan kehormatan,

Cemburu ini bermaksud, menjaga isteri dari segala sesuatu yang berbentuk pandangan, perkataan atau perasaan. Secara umum
lelaki bersifat :

- berani dan gagah perkasa
- ingin menolong yang lemah
- ingin berkuasa
- kasar dan tamak

manakala wanita bersifat :

- lemah lembut
- pemalu
- mempunyai perasaan yang halus
- bersopan santun
- penyabar.

Sifat-sifat ini adalah bersesuaian dengan kewajipan dan tanggungjawab masing-masing.

5. Membimbing isteri

Di samping memiliki sifat-safat yang baik, wanita juga mempunyai sifat buruk yang kadangkala merupakan sifat asal ataupun dari pengaruh luaran. Diantaranya:

a. Mudah lupa dalam mengingati Allah, Kesibukan dengan harta kekayaan dan anak-anak kadang-kala membuat wanita lengah akan perintah Allah. Kelalaian ini akan memberi peluang kepada hawa nafsu menguasainya.

b. Mudah terpengaruh oleh tipu daya dunia Kemilauan dunia sering membuat wanita terpedaya.

c. Sering bersikap bangga dan bermegah-megah kepada orang lain

Dengan memahami sifat isteri, suami boleh membimbing dan
menasihati isteri. Suami pula sepatutnya tahu bagaimana cara
membetulkan isteri. Tersilap cara akan mengakibatkan perselisihan.
Perselisihan dalam rumahtangga dapat dikurangkan sekiranya
pasangan mengamalkan perangai yang baik seperti :

1. Janganlah suami dan ister marah pada masa yang sama.
2. Jangan mengeluarkan suara yang kuat antara satu sama lain
3. Jika ada seorang yang harus menang dalam perselisihan, maka
biarkanlah ia menang.
4. Jika harus mengkritik pasangan, lakukanlah dengan sikap
kasih sayang.
5. Jangan mengungkit kembali kesalahan-kesalahan lalu
6. Lebih baik tidak mempunyai masa untuk orang lain daripada
tidak mempunyai masa terhadap pasangan.
7. Jangan tidur jika ada perselisihan belum diselesaikan
8. Berkata sesuatu yang manis atau pujian pada pasangan kita
sekurang-kurangnya sekali sehari.
9. Jika bersalah, akuilah kesalahan dan meminta maaf.
10. Jangan lupa bahawa perselisihan terjadi akibat dua orang
dan biasanya org yang bersalah paling banyak berbicara.

6. Membimbing anak

Seorang suami yang adalah suami yang tidak mengabaikan
tanggungjawabnya antaranya:

a. Memberikan nama yang baik bagi anaknya
b. Memberi nafkah
c. Bertanggungjawab atas pendidikan anak dan sebagainya.

Saturday, 1 December 2012

~Bunga syurGa~



*"dia ibarat bunga dari syurga, yang datang dan telah pergi tetapi harumnya tetap terpahat sampai bila bila".* kata-kata saiyidina Ali tentang saiditina fatimah p/s: "Pastikan kau sentiasa mekar berkembang seperti bunga wahai manusia. Jika kau layu sebelum sampai masanya, siramilah dengan air taubat dan taburlah baja keimanan dan ketakwaan. Sesungguhnya kau mampu kembali mekar dan wangi seperti dahulu. Seperti kau mula-mula berkembang."

Friday, 7 September 2012

TIPS BERTUDUNG LABUH


Tips Awal Sebelum Bertudung Labuh


“…Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya kepada nur hidayahNya itu….” [surah 24; an-Nur; ayat 35]
“Demi sesungguhnya, Kami telah menurunkan ayat-ayat yang menerangkan (hakikat kebenaran dengan berbagai dalil dan bukti); dan Allah memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus.”[surah 24; an-Nur; ayat 46]
Saya percaya… ramai sahabat-sahabat, adik-adik mahupun kakak-kakak diluar sana yang hatinya telah lunak & lembut disapa bayu Hidayah Allah swt.
Hidayah ini menyapa tanpa disedari melembutkan hati untuk merapatkan diri kepada Ilahi. Hati terasa teruja melakukan kebaikan, langkah laju diatur ke denai-denai majlis Ilmu, bibir pula tak henti melafazkan zikrullah mahupun doa agar Allah menguatkan hati untuk terus ada di jalan yang benar ini.
Apabila meneliti keadaan penampilan diri yang agak tidak sempurna penutupan auratnya, hati tiba-tiba terasa malu kepada Allah. Mengenangkan kejahilan diri melanggar perintah & garis panduan yang telah ditetapkannya. Namun, di saat diri mahu berubah. Di celah-celah semangat itu dilunturkan pula dengan tohmahan orang sekeliling. Lantas lantaran dek mengenangkan kata-kata perlian & kejian yang bakal dilalui. Tambahan pula diri dilahirkan dalam keluarga yang ‘biasa-biasa’ sahaja penerapan & pelaksanaan agamanya, diri terkenang pula apa kata keluarga jika tiba-tiba berubah penampilan kelak.
Situasi ini kerap kali melanda hati, diri yang baru ‘dipanggil’ pulang oleh Allah. Respon bagi panggilan tersebut ada 3:
  1. Ramai di antara hamba-hamba yang diuji Allah ini berjaya melalui liku-liku tersebut dengan sabar & tabah sebelum istiqomah menyarungkan tudung labuh. Alhamdulillah.
  2. Namun, ramai juga yang cuma separuh jalan menyahut panggilan Hidayah Allah lantaran memikirkan kata-kata orang & keluarga. Ramai juga meninggalkan penampilan tudung labuh kerana kembali ‘terpikat’ dengan keduniaan seperti terpengaruh dengan fesyen, takut tidak bertemu jodoh ataupun kerana menggunakan alasan susah mencari pekerjaan dengan pakaian tersebut.
  3. Ramai juga yang langsung tidak mengendahkan ketukan Hidayah Allah yang dibiarkan berlalu sepi. Mereka ini terlepas peluang keemasan apabila menyangka Hidayah itu boleh dibeli dan akan tiba hanya dengan menanti.
Kepada sahabat-sahabat, adik-adik serta kakak-kakak yang dikasihi Allah, pilihlah untuk menjadi hamba-hambaNya seperti respon yang pertama,
Renungilah firman Allah;
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.”  [surah 2; al-Baqarah; ayat 45-46]
Kuatkanlah hati. Kuatkan semangat. Berbanyaklah berdoa kepada Allah agar ditetapkan hati untuk melalui jalanNya ini. Bukan calang-calang orang yang terpilih untuk memiliki HidayahNya. Bersyukurlah jika kita di antara insan-insan yang terpilih untuk kembali kepadaNya.
Sesungguhnya, biar kita hilang ‘seseorang’ atau ‘sesuatu’ demi Allah. Daripada demi ‘seseorang’ & ‘sesuatu’ kita kehilangan Allah. Nauzubillah.
Apabila hati tiba-tiba terasa insaf dan ingin kembali, namun, masih keliru apa yang perlu dilakukan. Mungkin TIPS-TIPS AWAL di bawah ini dapat membantu untuk memulakan langkah:
1. Mulakan dengan memakai stokin kaki & sarung lengan. Biasakan memakai baju yang longgar dan melepasi punggung. Tukarkan penggunaan seluar jeans dengan seluar slack yang longgar.
2. Cari & sertailah kumpulan usrah yang benar. Yakni yang diyakini agama naqibah (ketua usrah) nya serta hala tujunya selari dengan syariat. InsyaAllah…
3. Perhebatkan langkah menyertai majlis-majlis ilmu seperti kuliah maghrib di Masjid, ceramah-ceramah oleh ustaz/ustazah untuk menambah input dalam diri. InsyaAllah, akan bertemu sahabat-sahabat baru yang baik di majlis-majlis tersebut.
4. Bersungguh-sungguh memperbaiki ibadah-ibadah asas seperti solat, puasa & sebagainya. Boleh rujuk ustaz/ustazah, sahabat2 yang diyakini agama, kitab-kitab fardu ain, ataupun mendengar ceramah-ceramah online (kalau boleh semua ini seiring).
5. Perbanyakkan membaca al-Quran & mentadabbur (mengkaji) maknanya. Milikilah tafsir mini sebagai teman karib.
6. Apabila hati sudah semakin kuat, yakni semakin sudah yakin dengan pilihan yang dibuat (untuk berhijrah lillahi taala) maka, perlahan-lahanlah mulakan langkah untuk memperbaiki penampilan. Mulalah memakai baju yang menutupi peha (mencecah lutut). Paling popular, T-shirt Muslimah. Namun, hati-hati, seeloknya pastikan ukurannya mencecah lutut kerana T-shirt yang tidak menutupi peha berpotensi untuk menampakkan bentuk peha jika dipakai dengan seluar.
7. Mulakan dengan memakai tudung bidang 50 (melepasi bahu). Pinkan secara lurus. Kalau dipinkan silang ke dada, kelihatan agak singkat. Kebiasaannya muslimah memilih untuk memakai Tudung Turki atau Tudung Mesir.
Contoh 1: Tudung Akel bidang 50.
..
Contoh 2: Pashmina (selendang menutupi dada & tidak jarang)
8. Setelah semakin selesa, mulalah memakai pula tudungTudung Turki/ Mesir/ Bawal bidang 60. Tudung jenis ini kebiasaannya labuh mencecah siku & menutupi punggung.Sebenarnya, tudung jenis ini pun sudah memadai untuk menutupi aurat dengan sempurna. Namun, agak renyah sebab penggunaan pin.. ( kalau tudung jahit terus sarung je. lagi mudah kan? ) ^ ^
Contoh Tudung Turki jenama Akel bidang 60.
9. Dalam pada berusaha menjaga penampilan, langkah 1-6 masih dipraktikkan dengan istiqomah (berterusan). Iman ditingkatkan, ibadah diperhebatkan, akhlak dipermantapkan. insyaAllah.
10. Kemudian, setelah bersedia untuk memakai tudung labuh berjahit, bolehlah mulakan dengan berselang-seli dengan Tudung Turki/Mesir bidang 60 sebelum istiqomah dengan tudung labuh berjahit. Serta kurangkan pemakaian seluar serta mengantikannya dengan memakai kain. Memakai t-shirt muslimah dengan kain tidak ada salahnya. Bahkan lebih manis dipandang mata. :)
Contoh tudung labuh berjahit. Kain jenis koshibo.
CUBALAH dahulu. InsyaAllah, sekali cuba… masyaAllah, perasaan kali pertama itu terasa sangat indah sekali. Terasa sangat selamat, terasa Allah berasa sangat dekat. Subhanallah! Jika kita ikhlas berhijrah & memakai tudung labuh dengan niat untuk mendapatkan keredhaan Allah, insyaAllah Dia akan membantu mempermudahi jalan kita.
Secara tidak langsung, akhlak kita juga seakan terpelihara sebagaimana terpeliharanya maruah kita dilindungi kelabuhan tudung yang dipakai. Kita akan jadi segan untuk berakhlak buruk & melakukan kemungkaran.
Sebenarnya, boleh sahaja kalau hendak terus memakai tudung labuh. Namun, seeloknya, kita mulakan secara perlahan-lahan agar diri lebih yakin & bersedia. Tidaklah nanti perubahan itu terlalu drastik & takut diri tidak dapat mengadaptasi dengan penampilan baru itu. Cepat atau lambat, yang penting, perubahan itu ikhlas & istiqomah. Jadi, banyak-banyakkan berdoa agar Allah mempermudahi jalan kita untuk meraih redhaNya.
Firman Allah swt; “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka….” [surah 24, an-Nur; ayat 31]
Kuatkan semangat, kuatkan semangat, kuatkan semangat serta mohonlah kekuatan daripada Allah. Sesungguhnya tidak salah berubah jika perubahan itu ke arah kebaikan & mendekatkan jarak kita dengan Allah. Yakinlah bahawa Allah akan menganjarkan kebaikan kepada kita di atas pengorbanan kita.
Firman Allah swt; “Dan barangsiapa yang berjihad (melakukan kebaikan),maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sungguh, Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari seluruh alam.” [surah 29; al-ankabut; ayat 6]
“Sesungguhnya dunia itu adalah perhiasan & seindah hiasan dunia adalah wanita yang solehah.” [HR Bukhari & Muslim]
Teruskan mencari, belajar & berusaha untuk memperbaiki diri. :) Sesungguhnya, anda bukanlah keseorangan kerana Allah sentiasa ada di sisi kita.
Semoga bermanfaat, insyaAllah.
p/s: Melalui pengalaman saya sendiri, saya mencintai penghijrahan saya. Malah, tips-tips di atas ditulis berdasarkan pengalaman saya sendiri. Alhamdulillah, saya bersyukur Allah kuatkan hati saya untuk tetap di jalan ini. Malah, sejak penghijrahan saya, saya berasa lebih tenang & gembira. Tak dinafikan memang banyak ujian & cabaran. Namun, Alhamdulillah, Allah mempermudahi semua kesukaran yang saya hadapi.
Saya berdoa semoga Allah menggerak & menguatkan hati sahabat2, adik2 serta kakak2 yang saya kasihi kerana Allah semua untuk turut berhijrah kembali kepadaNya & merasai keindahan rasa menutup aurat dengan sempurna. InsyaAllah…
Nota: Baca Kisah Perubahan Yang Berlaku Kepada Seorang Sahabat Kita Setelah Bertudung Labuh Di Sini: Dilindungi Allah Setelah Bertudung Labuh
Ditulis oleh Syauqahwardah & diubahsuai oleh WanWMA. Dipetik dari: http://syauqahwardah1209.blogspot.com.

Wednesday, 1 August 2012

Senarai Nama Surah Di Dalam Al-Quran :.


Jom kita refresh semula nama-nama surah di dalam Al-Quran. :)

1. Surah Al-Fatihah (Pembukaan) 
2. Surah Al-Baqarah (Sapi Betina)
3. Surah Ali 'Imran (Keluarga Imran)
4. Surah An-Nisaa' (Wanita)
5. Surah Al-Maa’idah (Hidangan)
6. Surah Al-An'aam (Binatang Ternakan)
7. Surah Al-A'raaf (Tempat Tinggi)
8. Surah Al-Anfaal (Rampasan Perang)
9. Surah At-Taubah (Taubat)
10. Surah Yunus (Nabi Yunus a.s.)
11. Surah Hud (Nabi Hud a.s.)
12. Surah Yusuf (Nabi Yusuf a.s.)
13. Surah Ar-Ra’d (Guruh)
14. Surah Ibrahim (Nabi Ibrahim a.s.)
15. Surah Al-Hijr (Kawasan Berbatu)
16. Surah An-Nahl (Lebah)
17. Surah Al-Israa’ (Perjalanan Malam)
18. Surah Al-Kahfi (Gua)
19. Surah Maryam (Siti Maryam)
20. Surah Taahaa
21. Surah Al-Anbiyaa’ (Para Nabi)
22. Surah Al-Hajj (Haji)
23. Surah Al-Mu’minun (Golongan yang Beriman)
24. Surah An-Nuur (Cahaya)
25. Surah Al-Furqaan (Pembeza Kebenaran dan Kebatilan)
26. Surah Asy-Syu’araa (Para Penyair)
27. Surah An-Naml (Semut)
28. Surah Al-Qasas (Cerita-cerita)
29. Surah Al-‘Ankabut (Labah-labah)
30. Surah Ar-Rum (Masyarakat Rom)
31. Surah Luqman (Luqman)
32. Surah As-Sajdah (Sujud)
33. Surah Al-Ahzab (Golongan yang Bersekutu)
34. Surah Saba’ (Kaum Saba’)
35. Surah Faatir (Pencipta)
36. Surah Yaasin
37. Surah As-Saaffat (Yang Berbaris Dengan Teratur)
38. Surah Saad
39. Surah Az-Zumar (Rombongan)
40. Surah Al-Mu’min (Orang yang Beriman)
41. Surah Fussilat (Dijelaskan)
42. Surah Asy-Syuraa (Permesyuaratan)
43. Surah Az-Zukhruf (Perhiasan Emas)
44. Surah Ad-Dukhaan (Kabut/Asap)
45. Surah Al-Jatsiyah (Yang Berlutut)
46. Surah Al-Ahqaaf (Bukit-bukit Pasir)
47. Surah Muhammad (Nabi Muhammad s.a.w.)
48. Surah Al-Fat-h (Kemenangan)
49. Surah Al-Hujurat (Bilik-bilik)
50. Surah Qaf
51. Surah Adz-Dzariyaat (Angin yang Menerbangkan)
52. Surah At-Tur (Gunung)
53. Surah An-Najm (Bintang)
54. Surah Al-Qamar (Bulan)
55. Surah Ar-Rahman (Yang Maha Pemurah)
56. Surah Al-Waqi’ah (Peristiwa yang Tidak Dapat Dielakkan)
57. Surah Al-Hadid (Besi)
58. Surah Al-Mujadilah (Perempuan yang Merayu)
59. Surah Al-Hasyr (Pengusiran)
60. Surah Al-Mumtahanah (Perempuan yang Diuji)
61. Surah As-Saf (Barisan)
62. Surah Al-Jumu’ah (Hari Jumaat)
63. Surah Al-Munafiquun (Golongan Munafik)
64. Surah At-Taghabun (Saling Untung dan Rugi)
65. Surah At-Talaq (Cerai)
66. Surah At-Tahrim (Mengharamkan)
67. Surah Al-Mulk (Kerajaan)
68. Surah Al-Qalam (Pen)
69. Surah Al-Haaqqah (Keadaan Sebenar)
70. Surah Al-Ma’arij (Tempat-tempat Naik)
71. Surah Nuh (Nabi Nuh a.s.)
72. Surah A-Jin (Jin)
73. Surah Al-Muzammil (Yang Berselimut)
74. Surah Al-Muddathir (Yang Berselimut)
75. Surah Al-Qiamah (Kebangkitan)
76. Surah Al-Insaan (Manusia)
77. Surah Al-Mursalat (Yang Diutus)
78. Surah An-Naba’ (Berita Besar)
79. Surah An-Naazi’aat (Yang Mencabut)
80. Surah ‘Abasa (Dia Bermasam Muka)
81. Surah At-Takwiir (Menggulung)
82. Surah Al-Infitar (Pecah Belah)
83. Surah Al-Mutaffifiin ( Golongan yang Curang)
84. Surah Al-Insyiqaaq (Terbelah)
85. Surah Al-Buruj (Gugusan Bintang)
86. Surah At-Taariq (Pengunjung Malam)
87. Surah Al-A’laa (Yang Tertinggi)
88. Surah Al-Ghaasyiah (Peristiwa yang Menggelisahkan)
89. Surah Al-Fajr (Fajar/Sinar Mentari)
90. Surah Al-Balad (Negeri)
91. Surah Asy-Syams (Matahari)
92. Surah Al-Lail (Malam)
93. Surah Adh-Dhuha (Pagi yang Cemerlang)
94. Surah Al-Insyirah/Al-Syarah (Kelapangan)
95. Surah At-Tin (Buah Ara)
96. Surah Al-‘Alaq (Gumpalan Darah)
97. Surah Al-Qadr (Kemuliaan)
98. Surah Al-Baiyinah (Bukti yang Nyata)
99. Surah Al-Zalzalah (Kegoncangan)
100. Surah Al-‘Aadiyaat (Yang Berlari Kencang)
101. Surah Al-Qari’ah (Hari Yang Hingar Bingar)
102. Surah At-Takathur (Bermegah-megah)
103. Surah Al-‘Asr (Waktu)
104. Surah Al-Humazah (Pengumpat)
105. Surah Al-Fiil (Gajah)
106. Surah Quraisy (Kaum Quraisy)
107. Surah Al-Ma’un (Barangan Berguna)
108. Surah Al-Kauthar (Melimpah-ruah)
109. Surah Al-Kafirun (Golongan Kafir)
110. Surah An-Nasr (Pertolongan)
111. Surah Al-Lahab (Nyalaan Api)
112. Surah Al-Ikhlas (Tulus Ikhlas)
113. Surah Al-Falaq (Subuh/Dinihari)
114. Surah An-Nas (Manusia)

Tuesday, 31 July 2012

Hati-hati dalam memuji dan menerima pujian

Jendela Hikmah: Rasulullah berpesan hati-hati beri, terima pujian
Oleh Prof Madya Maznah DaudSUKA dipuji dan memuji diri sendiri adalah sifat mazmumah yang membuahkan sikap riak. Sebenarnya yang layak dan berhak dipuji hanyalah Allah. Inilah maksud dalam surah al-Fatihah: “Segala puji hanya untuk Allah, Pencipta dan Penguasa seluruh alam.” (Surah al-Fatihah, ayat 2)



Segala yang kita kagum dan takjub semuanya rekaan Allah Yang Maha Bijaksana termasuklah diri dan segala kepakaran serta kebolehan yang ada pada kita. Justeru, di mana letaknya kewajaran dibuai perasaan bangga dan bahagia apabila mendapat pujian yang belum teruji keikhlasannya?

Memuji Allah dengan lafaz ‘Alhamdulillah’ mengandungi pengiktirafan akan Kebesaran, Keagungan, Kesempurnaan zat dan sifat-Nya. Di samping itu, ia juga mengandungi pengertian kesyukuran tulus ikhlas di atas segala nikmat-Nya yang tidak terkira.

Memuji Allah adalah satu ibadat dan Allah sangat suka kepada hamba yang memuji-Nya. Jabir bin Abdullah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Zikir yang paling afdal ialah ‘LailahaillaAllah’ dan doa yang paling afdal ialah ‘Alhamdulillah’.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Anas bin Malik meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Di kala Allah menganugerahkan satu nikmat kepada seseorang hamba, lantas hamba itu menerimanya dengan ucapan ‘Alhamdulillah’ maka ‘Alhamdulillah’ yang diucapkan itu lebih baik daripada nikmat yang diterimanya.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang hamba berkata, “Wahai Tuhanku, untuk-Mu saja segala pujian yang selayaknya dengan keagungan wajah-Mu dan kebesaran kekuasaan-Mu, dua malaikat terpinga-pinga, tidak tahu apa yang hendak dicatatkan. Lalu kedua-duanya segera menghadap Allah dan berkata: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya seorang hamba-Mu mengungkap satu ucapan yang kami tidak mengetahui bagaimana menulis pahalanya. Allah bertanya apakah ungkapan itu sedangkan Dia sudah mengetahuinya. Maka malaikat itu menyebut ungkapan yang didengari. Allah berfirman kepada kedua-duanya: Kalian berdua tulislah apa yang diucapkan oleh hamba-Ku itu. Apabila tiba waktu dia kembali menemui-Ku nanti Aku akan memberinya ganjaran yang sesuai dengan ucapannya itu.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Diriwayatkan, Rasulullah SAW mendengar seorang lelaki memuji seorang lelaki lain, lantas Baginda SAW bersabda yang maksudnya: “Malang kamu! Sesungguhnya kamu sudah memotong lehernya! Kemudian Baginda SAW menambah: “Sekiranya seseorang daripada kamu tidak dapat mengelak daripada memuji temannya maka hendaklah dia berkata, saya kira begini, jangan sekali-kali dia menyucikan seseorang mengatasi Allah.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Muawiyah berkata bahawa Rasulullah SAW jarang sekali meninggalkan pesanan ini di dalam khutbah Jumaatnya: “Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan untuknya, diberinya kefahaman yang mendalam mengenai agama. Sesungguhnya harta itu manis lagi menawan. Sesiapa yang mengambilnya dengan cara yang benar, diberkati padanya. Berwaspadalah kamu daripada perangai puji memuji. Sesungguhnya pujian itu adalah sembelihan.” (Hadis riwayat Ahmad)

Namun kita perlu bezakan antara memuji (ada udang sebalik batu) dengan memberikan pengiktirafan dan penghargaan. Memberikan pengiktirafan dan penghargaan digalakkan bertujuan memberi galakkan, melebarkan silaturahim dan mengeratkan kasih sayang. Nawaitu perlu dijaga sepanjang waktu.

Kita juga dilarang memuji diri sendiri dan menyebut kebaikan diri. Firman Allah yang bermaksud: “Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang membersihkan (memuji) diri sendiri? (Padahal perkara itu bukan hak manusia) bahkan Allah jugalah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya); dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasan mereka) sedikitpun.” Surah an-Nisaa, ayat 49)

Menurut al-Hasan dan Qatadah, ayat ini mengenai Yahudi dan Nasrani yang mendakwa mereka adalah anak Allah dan kekasih-Nya. Mereka juga berkata: “Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasran. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka saja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah ke mari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar.” (Surah al-Baqarah, ayat 111)

Al-Miqdad bin al-Aswad berkata Rasulullah SAW memerintahkan kami supaya menabur pasir ke muka orang yang suka memuji diri.” (Hadis riwayat Muslim)

Terkesan dengan tarbiah al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, Umar bin al-Khattab pernah berkata: “Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti menimpa kamu ialah kagum kepada buah fikiran dan diri sendiri. Sesiapa yang mendakwa dia orang yang beriman, maka sebenarnya dia kafir. Dan sesiapa yang mendakwa dia orang yang berilmu, maka sebenarnya dia jahil. Dan sesiapa yang mendakwa dia ahli syurga, maka sebenarnya dia ahli neraka.” (Hadis riwayat Ibn Marduwaih)

Thursday, 26 July 2012

LELAKI SOLEH DAMBAAN WANITA SOLEHAH



Aku kagum melihat seorang Jejaka,
Tampannya sukar Diterjemah,
Bukan dari paras rupa tapi pada Akhlaknya..

Pabila AZAN dengar ditelinga,
Dialah orang Pertama menujunya,
Bukan kerna SUKA SUKA tapi untuk Menunaikan seruannya….

Dia sabar bila ditimpa MUSIBAH,
Membuatkan IMANnya makin BERTAMBAH,
Dia lebih TAWAKAL dan juga REDHA bila USAHA telah dilakukanya…

Muamalatnya amat TERJAGA,
Pergaulan lelaki dan wanita amat DIAMBIL kira,
Kerna takut ALLAH akan menjadi MURKA dirinya juga yang kecewa..

Ilmu yang ada diKONGSIkannya,
Buat amalan manusia dan juga DIRInya,
Senyum tidak penah lekang DIMUKA pabila DAKWAh dilakukannya….

Pabila bertembung dengan MUSLIMAH,
Pasti PANDANGAnya turun ke BAWAH,
Bukan JIJIK atau apa cuma MENJAGA iman di DADA…

Ibu dan Ayah diHORMATInya,
Tanda SAYANG dan juga CINTA,
Bukan kerna TERPAKSA tapi untuk mendapat REDHA TUHANnya.