Assalamualaikum

Assalamualaikum
INILAH SAYA ....

Tuesday, 31 July 2012

Hati-hati dalam memuji dan menerima pujian

Jendela Hikmah: Rasulullah berpesan hati-hati beri, terima pujian
Oleh Prof Madya Maznah DaudSUKA dipuji dan memuji diri sendiri adalah sifat mazmumah yang membuahkan sikap riak. Sebenarnya yang layak dan berhak dipuji hanyalah Allah. Inilah maksud dalam surah al-Fatihah: “Segala puji hanya untuk Allah, Pencipta dan Penguasa seluruh alam.” (Surah al-Fatihah, ayat 2)



Segala yang kita kagum dan takjub semuanya rekaan Allah Yang Maha Bijaksana termasuklah diri dan segala kepakaran serta kebolehan yang ada pada kita. Justeru, di mana letaknya kewajaran dibuai perasaan bangga dan bahagia apabila mendapat pujian yang belum teruji keikhlasannya?

Memuji Allah dengan lafaz ‘Alhamdulillah’ mengandungi pengiktirafan akan Kebesaran, Keagungan, Kesempurnaan zat dan sifat-Nya. Di samping itu, ia juga mengandungi pengertian kesyukuran tulus ikhlas di atas segala nikmat-Nya yang tidak terkira.

Memuji Allah adalah satu ibadat dan Allah sangat suka kepada hamba yang memuji-Nya. Jabir bin Abdullah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Zikir yang paling afdal ialah ‘LailahaillaAllah’ dan doa yang paling afdal ialah ‘Alhamdulillah’.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Anas bin Malik meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Di kala Allah menganugerahkan satu nikmat kepada seseorang hamba, lantas hamba itu menerimanya dengan ucapan ‘Alhamdulillah’ maka ‘Alhamdulillah’ yang diucapkan itu lebih baik daripada nikmat yang diterimanya.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang hamba berkata, “Wahai Tuhanku, untuk-Mu saja segala pujian yang selayaknya dengan keagungan wajah-Mu dan kebesaran kekuasaan-Mu, dua malaikat terpinga-pinga, tidak tahu apa yang hendak dicatatkan. Lalu kedua-duanya segera menghadap Allah dan berkata: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya seorang hamba-Mu mengungkap satu ucapan yang kami tidak mengetahui bagaimana menulis pahalanya. Allah bertanya apakah ungkapan itu sedangkan Dia sudah mengetahuinya. Maka malaikat itu menyebut ungkapan yang didengari. Allah berfirman kepada kedua-duanya: Kalian berdua tulislah apa yang diucapkan oleh hamba-Ku itu. Apabila tiba waktu dia kembali menemui-Ku nanti Aku akan memberinya ganjaran yang sesuai dengan ucapannya itu.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Diriwayatkan, Rasulullah SAW mendengar seorang lelaki memuji seorang lelaki lain, lantas Baginda SAW bersabda yang maksudnya: “Malang kamu! Sesungguhnya kamu sudah memotong lehernya! Kemudian Baginda SAW menambah: “Sekiranya seseorang daripada kamu tidak dapat mengelak daripada memuji temannya maka hendaklah dia berkata, saya kira begini, jangan sekali-kali dia menyucikan seseorang mengatasi Allah.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Muawiyah berkata bahawa Rasulullah SAW jarang sekali meninggalkan pesanan ini di dalam khutbah Jumaatnya: “Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan untuknya, diberinya kefahaman yang mendalam mengenai agama. Sesungguhnya harta itu manis lagi menawan. Sesiapa yang mengambilnya dengan cara yang benar, diberkati padanya. Berwaspadalah kamu daripada perangai puji memuji. Sesungguhnya pujian itu adalah sembelihan.” (Hadis riwayat Ahmad)

Namun kita perlu bezakan antara memuji (ada udang sebalik batu) dengan memberikan pengiktirafan dan penghargaan. Memberikan pengiktirafan dan penghargaan digalakkan bertujuan memberi galakkan, melebarkan silaturahim dan mengeratkan kasih sayang. Nawaitu perlu dijaga sepanjang waktu.

Kita juga dilarang memuji diri sendiri dan menyebut kebaikan diri. Firman Allah yang bermaksud: “Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang membersihkan (memuji) diri sendiri? (Padahal perkara itu bukan hak manusia) bahkan Allah jugalah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya); dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasan mereka) sedikitpun.” Surah an-Nisaa, ayat 49)

Menurut al-Hasan dan Qatadah, ayat ini mengenai Yahudi dan Nasrani yang mendakwa mereka adalah anak Allah dan kekasih-Nya. Mereka juga berkata: “Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasran. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka saja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah ke mari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar.” (Surah al-Baqarah, ayat 111)

Al-Miqdad bin al-Aswad berkata Rasulullah SAW memerintahkan kami supaya menabur pasir ke muka orang yang suka memuji diri.” (Hadis riwayat Muslim)

Terkesan dengan tarbiah al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, Umar bin al-Khattab pernah berkata: “Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti menimpa kamu ialah kagum kepada buah fikiran dan diri sendiri. Sesiapa yang mendakwa dia orang yang beriman, maka sebenarnya dia kafir. Dan sesiapa yang mendakwa dia orang yang berilmu, maka sebenarnya dia jahil. Dan sesiapa yang mendakwa dia ahli syurga, maka sebenarnya dia ahli neraka.” (Hadis riwayat Ibn Marduwaih)

Thursday, 26 July 2012

LELAKI SOLEH DAMBAAN WANITA SOLEHAH



Aku kagum melihat seorang Jejaka,
Tampannya sukar Diterjemah,
Bukan dari paras rupa tapi pada Akhlaknya..

Pabila AZAN dengar ditelinga,
Dialah orang Pertama menujunya,
Bukan kerna SUKA SUKA tapi untuk Menunaikan seruannya….

Dia sabar bila ditimpa MUSIBAH,
Membuatkan IMANnya makin BERTAMBAH,
Dia lebih TAWAKAL dan juga REDHA bila USAHA telah dilakukanya…

Muamalatnya amat TERJAGA,
Pergaulan lelaki dan wanita amat DIAMBIL kira,
Kerna takut ALLAH akan menjadi MURKA dirinya juga yang kecewa..

Ilmu yang ada diKONGSIkannya,
Buat amalan manusia dan juga DIRInya,
Senyum tidak penah lekang DIMUKA pabila DAKWAh dilakukannya….

Pabila bertembung dengan MUSLIMAH,
Pasti PANDANGAnya turun ke BAWAH,
Bukan JIJIK atau apa cuma MENJAGA iman di DADA…

Ibu dan Ayah diHORMATInya,
Tanda SAYANG dan juga CINTA,
Bukan kerna TERPAKSA tapi untuk mendapat REDHA TUHANnya.

Tuesday, 24 July 2012

Dua Tabiat Wanita Yang Membawa Ke Neraka







As’salamualaikum . Sebagai peringatan untuk para wanita dipaparkan suatu peristiwa di suatu Eid, di mana seorang wakil telah dilantik dari kaum wanita untuk bertemu dengan Rasulullah SAW untuk meminta baginda SAW memberi ucapan khusus untuk kaum wanita. Baginda bersetuju dan menyuruh mereka berkumpul di Baabun Nisaa’. Setelah kaum wanita berkumpul, Bilal pergi memanggil Rasulullah SAW. Baginda pun pergi ke sana , dan memberi salam dan memberi tazkirah seperti berikut:

“Assalamu’alaikum, wahai kumpulan/kaum wanita. Wahai kaum wanita, Aku lihat kamu ini lebih banyak di neraka”.

Seorang wanita lalu bangun bertanya, “Apakah yang menyebabkan yang demikian? Adakah sebab kami ini kufur?’ Rasulullah SAW menjawab, “Tidak. Bukan begitu. Tetapi ada dua tabiat kamu yang tidak elok yang boleh menjerumuskan kamu ke dalam neraka:

1. Kamu banyak mengutuk/menyumpah
2. Kamu kufurkan kebaikan suami


Kemudian baginda SAW mengingatkan supaya:

1. Banyak beristighfar
2. Banyak bersedekah

Keterangan: Yang dimaksudkan dengan mengutuk/menyumpah ialah seperti contoh di bawah

Contoh 1 – Katakan kita lama menunggu bas. Tetapi bas masih tak kunjung tiba, akibat geram dan marah kita mungkin berkata, “Driver bas ni dah mampus agaknya.” Perkataan mampus itu termasuk dalam erti kata menyumpah. Lisan wanita memang terlalu cepat menyumpah. Kadang-kadang pakaian, perkakas rumah, hatta suami pun kena sumpah.

Contoh 2 – Tengah memasak gas habis. Kita mungkin berkata “Celaka punya gas. Masa ni jugak nak habis.” Yang dimaksudkan kufur di sini bukan kufur I’tiqad tetapi bererti tidak mengiktiraf Kebaikan di sini bermaksud tanggungjawab yang telah ditunaikan oleh suami.

Berkaitan dengan hal ini, Rasulullah pernah ditanya oleh seorang suami yang kurang faham apa yang dimaksudkan dengan ‘kufurkan kebaikan suami’.

Rasulullah SAW berkata,”Tidakkah pernah engkau jumpa, seorang isteri, jika seumur hidup engkau, engkau berbuat baik kepadanya, tetapi di suatu ketika, disebabkan dia tidak mendapat sesuatu yang dia kehendaki, maka dia akan berkata ,”Awak ini, saya tak nampak satu pun kebaikan awak”(Terjemahan langsung dari Arab).

[Dalam masyarakat kita kata-kata di atas mungkin boleh dikaitkan dengan perkataan seperti berikut:"Selama hidup dengan awak, apa yang saya dapat?".][Tak guna sesen pun']

Rasulullah SAW sambung lagi ,’Mana-mana isteri yang berkata, “Awak ini, saya tak nampak satu pun kebaikan awak”, maka akan gugur pahala-pahala amalannya.’ Saranan Rasulullah SAW yang seterusnya ialah menyuruh kaum wanita banyak beristighfar dan bersedekah, kerana ia dapat menyelamatkan kita dari dua perkara yang boleh menjerumuskan kita ke dalam api neraka seperti yang disebutkan tadi.

Fadhilat beristighfar:

a. Sabda Rasulullah SAW :

“Siapa yang melazimkan amalan istighfar 70 X sehari, dia tidak akan ditulis sebagai orang yang lupa (nyanyuk).” Sebelum nyanyuk di hari tua, amalkan sejak muda-muda lagi. Rasulullah SAW menganjurkan kita beristighfar 70 atau 100 kali sehari. Baginda sendirimelakukannya lebih dari 100 X sehari. Adalah diingatkan untuk mencapai target ini, eloklah kita menjadualkan amalan zikir ini dalam amalan-amalan harian kita.

b .Sabda Rasulullah SAW :

“Siapa yang melazimkan amalan istighfar, akan dikeluarkan Allah dari sifat ham dan hazan. Sifat ham bererti gelisah yang tidak menentu yang sering melanda kaum wanita. Sifat hazan bererti berdukacita”

c. Istighfar juga memurahkan rezeki.

Jangan dianggap rezeki itu hanya dalam bentuk wang ringgit atau harta benda.Tetapi ia juga termasuk kesihatan, umur, kasih sayang dan anak-anak. Sedekah tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit. Sedekah juga termasuk:

d. Tuturkata/percakapan yang baik.

Yang paling utama ialah terhadap keluarga sendiri. Ertinya tidak menyakitkan hati. Inilah rahsianya bagaimana hendak menambat hati suami. Diriwayatkan, Saidatina Khadijah ra, isteri Rasulullah SAW yang pertama, tidak pernah menyinggung hati Rasulullah walau sedikit pun. Sepanjang hayat baginda SAW, hati baginda dipenuhi dengan Khadijah, sehingga sering menyebut nama beliau. Kadangkala hingga menimbulkan perasaan cemburu dikalangan isteri-isteri baginda.

Diriwayatkan juga, Jibril as setiap kali selepas memberi wahyu kepada Rasulullah sebelum meminta diri, selalu mengirim salam kepada Khadijah. Suatu hari Rasulullah SAW telah bertanya beliau, dan jawab Jibril, “Khadijahlah satu-satunya perempuan yang Allah SWT berkenan tutur katanya”.


2. Memberi salam.

3. Memaniskan wajah.

Juga terutamanya kepada ahli keluarga. Rasulullah SAW pernah bersabda,”Kamu senyum sahaja pun sudah menjadi sedekah.” Terdapat juga suatu syair Arab yang berbunyi :”Nak buat baik, sangatlah mudah, Maniskan wajah, lembutkan lidah.” Maka setelah diberi peringatan oleh Rasulullah SAW marilah kita bertafakkur dan bermuhasabah diri-diri kita. Sekiranya terdapat sifat-sifatburuk yang boleh menjerumuskan kita ke dalam api neraka itu, maka eloklah kita mengubah sikap kita dari sekarang.

Beginilah Muslihat Syaitan Membuka Aurat Wanita



Antara Muslihat Syaitan Membuka Aurat Wanita
1. Menghilangkan hijab (penutup)
Perubahan zaman dan budaya manusia menyebabkan pakaian lebih berfesyen dan semakin banyak baju yang merendahkan aurat. Pada tahap ini syaitan berbisik kepada wanita dengan berkata bahawa pakaian hanyalah sekadar hiasan dan tiada berpengaruh dengan agama. Justeru itu, tidak mengapa sekiranya memakai pakaian yang membuka aurat. Namun, teknik ini tidak semestinya berkesan terutama kepada wanita yang berpendirian dan percaya bahwa memakai pakaian syar’i ialah satu ibadah dan bukan sekadar berfesyen. Jika hasutan ini gagal, syaitan akan beralih kepada strategi yang lebih licik seperti di bawah.
2. Membuka bahagian tangan
Aurat wanita meliputi seluruhnya kecuali muka dan tapak tangan. Seharusnya menjadi kebiasaan tapak tangan tidak ditutup. Jadi, syaitan mengambil kesempatan ini untuk menghasut wanita dengan berkata, “Tak mengapa jika memakai baju lengan pendek. Kamu masih pakai tudung.” Di pasaran pula banyak pakaian berlengan pendek terutamanya fesyen baru. Wanita yang terpedaya pun memakai baju lengan pendek dan ternyata ia kelihatan biasa pada pandangannya maupun pandangan seorang lelaki, lalu syaitan berbisik lagi, “Tidak mengapa kan..?”
3. Membuka leher dan dada
Setelah menjadi kebiasaan merendahkan sebagian lengan, datang lagi syaitan dan berbisik, “Tak mengapa kan membuka lengan. Sekarang ada fesyen baru yang merendahkan bahagian dada. Baju ini terbuka sedikit saja agar kamu tidak terasa panas. Orang pasti berkata biasa saja.” Wanita itupun memakailah baju tersebut, daripada merendahkan sedikit, sehingga yang nampak lagi bahagian dadanya.
4. Berpakaian tetapi bertelanjang
Tidak cukup dengan itu, syaitan membawa lagi idea baru. Kali ini syaitan berbisik, “Baju kamu itu dah biasa dah ramai orang yang pakai. Sekarang ini ada fesyen baru lagi. Baju ini tipis dan ketat saja. Boleh kamu tunjukkan bentuk badan kamu yang cantik itu. Tidak mengapa, sebab potongan baju ini masih panjang.” Maka wanita ini pun memakai baju berfesyen sebegitu sehingga menjadi kebiasaan malah baju yang dipakai semakin ketat dan jarang. Jadilah mereka wanita yang disebut oleh Nabi sebagai kasiyat ‘ariyat (berpakaian tetapi telanjang).
5. Membuka sedikit
Setelah memakai pakaian ketat dan jarang, datang lagi syaitan dan berbisik, “Susah la kalau kamu pakaian ketat semacam ini. Bergerak pun terasa terbatasi. Apa kata kamu cuba kain yang telah dibelah sampai ke lutut. Nanti lebih senang kamu untuk duduk. Tidak mengapa kamu rendahkan sedikit saja yang penting kamu selesa.” Maka dipakailah pakaian wanita yang terbelah. Ternyata ia memberi keluasan dan memudahkan dalam bergerak.
6. Membuka telapak kaki dan tumit
Syaitan berbisik lagi, “Sudah tak sesuai lagi kamu berpakaian begini. Kain ini masih bagus walaupun dibelah hingga lutut. Kamu potong saja lagi hingga di atas tumit. Kamu pendekkan kain ini sehingga atas tumit untuk memudahkan kamu berjalan.” Wanita terus mengikuti godaan syaitan ini dan memakai kain singkat serta ditambah pula dengan kasut tumit tinggi.
7. Membuka separuh betis
Sekarang, wanita ini sudah biasa memakai kain singkat dan ternyata masih kelihatan biasa pada pandangan orang. Syaitan berbisik lagi, “Fesyen kamu ni masih biasa saja. Orang macam tak kisahkan. Apa kata kamu cuba fesyen lain yang lebih menonjol. Di pasaran banyak kain skirt. Tak perlu beli yang sangat pendek. Yang separuh betis saja.” Sekarang ni syaitan sudah menjadi seperti penasihat peribadinya. Maka dituruti hasutan tersebut. Pada tahap ini tudung sudah tidak dipakai.
8. Membuka seluruh betis
Wanita ada terfikir, “Betulkah tindakan aku ni? Apakah tidak berselisih dengan wanita zaman nabi dulu?” Syaitan pula menggunakan muslihat dengan mengaitkan zaman dahulu dengan sekarang. Syaitan berkata, “Ahh!! Tidak.. Sekarang zaman dah berubah. Dulu lelaki tak suka kalau perempuan menampakkan auratnya, tetapi lelaki sekarang banyak yang suka. Yang seksi-seksi terutama, mesti tidak terlalu seksi tapi terbuka sedikit. Di pasaran banyak pakaian zaman sekarang yang menampakkan seluruh betis. Kalau kamu tidak ikut kamu akan ketinggalan zaman.” Maka pakailah wanita tersebut pakaian yang menampakkan seluruh betis.
9. Serba mini
Setelah pakaian menampakkan seluruh betis menjadi kebiasaan, datang lagi syaitan menghasut, “Pakaian kamu perlu ada variasi. Jangan pakai yang seperti itu saja. Kamu perlu pakai skirt mini. Kamu akan nampak lebih seksi dan menawan.” Maka pakailah wanita ini skirt mini malahan bukan skirt saja yang mini, bajunya, skirtnya, semuanya dah menjadi kecil dan seksi. Bajunya juga sudah bervariasi seperti berlengan pendek, merendahkan sebagian dada dan sebagian pehanya. Ada yang dikhaskan untuk berpesta, bersosial, pakaian kerja, pakaian rasmi, pakaian malam dan sebagainya.
10. Hampir semua terbuka
Muncul pula keinginan untuk mandi di kolam renang terbuka dan pantai. Syaitan berbisik, “Pakailah kamu bikini.. Semua orang di sana pakai baju itu. Kamu tak perlu malu.” Wanita ini pun tanpa segan lagi memakai bikini yang hanya menutup sebahagian dada dan pahanya. Dia pun bersuka ria terutama apabila semua lelaki memandangnya. Pada tahap ini auratnya sudah tidak diendahkan lagi.

NIAT PUASA


TIPS MEYAKINKAN IBU BAPA TENTANG PERKAHWINAN AWAL



Tentang memujuk ibu bapa agar dapat kahwin awal atau meyakinkan ibu bapa bahawa perkahwinan semasa belajar tidak akan membawa mudarat pada pelajaran, sesungguhnya, tidak ada jalan konkrit atau hitam dan putih dalam menangani hal ini. Ia adalah sesuatu yang subjektif dan tergantung kepada kebijaksanaan (hikmah), kepandaian berstrategi (berpolitik) dan kemahiran sosial-emosional ‘mempengaruhi’. Ia mungkin menghadapi respon ibu bapa yang sangat keras, sangat lembut atau sederhana.
Yang dimaksudkan dengan respon ibu bapa yang sangat keras ialah ibu bapa tetap berkeras tidak mahu anaknya kahwin semasa belajar walau apa sekali pun alasan. Ibu bapa tetap berkeras tidak mahu anaknya kahwin semasa belajar walaupun telah dipujuk rayu dan bermacam-macam usaha melobi dan sesi penerangan telah dibuat oleh anaknya. Yang dimaksudkan dengan respon ibu bapa yang sangat lembut ialah ibu bapa asalnya sangat berkeras tidak mahu anaknya kahwin semasa belajar, tetapi selepas sedikit usaha melobi daripada anaknya yang sangat berkesan di hatinya, lalu dia berubah fikiran membenarkan anaknya kahwin semasa belajar malah memberi bantuan dan sokongan.
Yang dimaksudkan dengan respon ibu bapa yang sederhana ialah ibu bapa pada awalnya tidak mahu anaknya kahwin semasa belajar, tetapi selepas usaha melobi yang berpada daripada anaknya, dia akhirnya membenarkan. Apa yang lebih penting untuk difahami, dihayati dan diredhai ialah; di balik semua ini, di balik 3 jalan kemungkinan ini, kita tidak mempunyai sedikit pun kuasa untuk menjamin bahawa apa yang kita mahu itu pasti kita dapat dengan usaha kita, kerana yang berusaha ialah kita tetapi yang menentukan segalanya ialah Allah swt.
Jika Allah telah menentukan jalan sukar / jalan sangat keras untuk kita, layakkah kita untuk tidak menyetujui Ketentuan Allah atau apalagi memberontak? Sesungguhnya, itu ujian Allah kepada kita untuk mengetahui keimanan kita dan untuk mengganjarkan syurga jika kita sabar. Yang boleh kita buat hanyalah redha dan sabar, serta terus berusaha dengan baki kemampuan yang masih ada. Sebagai imbalan redha dan sabar kita ialah pahala dan syurga insyaAllah, dan kemanisan serta kebahagiaan dalam perkahwinan selepas ia dibina. Siapakah yang lebih berkuasa daripada Allah untuk memberi balasan kepada kita?
Jika kita diberi jalan senang, maka ia adalah bonus untuk kita. Dan yang sepatutnya kita buat ialah bersyukur sebanyak-banyaknya. Jika kita dikurnia jalan sederhana, maka itu sudah memadai kepada kita. Menunggu 2 tahun untuk berkahwin jauh lebih bahagia daripada asalnya menunggu 3 tahun untuk kahwin. Menunggu 1 tahun untuk kahwin jauh lebih berharga dari asalnya menunggu 2.5 tahun untuk kahwin.
Bagaimana membuat usaha memendekkan tempoh penantian, daripada 3 menjadi 2 atau 2 menjadi 1 atau 2 menjadi 0  tahun? Sekali lagi ingatlah kejayaan itu bukan bergantung kepada usaha teknikal semata. Tetapi usaha teknikal adalah sesuatu kewajipan atau asas kejayaan. Selain usaha, doa dan tawakkal adalah adalah senjata yang sangat berkuasa kerana yang mengendalikan senjata ini ialah Yang Maha Kuasa, Allah swt.
Bertunanglah, nescaya di sepanjang tempoh pertunangan itu, komitmen semua pihak termasuk ibu bapa akan meningkat tanpa sedar. Dalam tempoh pertunangan, ibu bapa akan lebih banyak berfikir tentang anaknya yang telah bertunang sekaligus member makna akan berkahwin sama ada dalam masa cepat atau lambat sikit. Jika tidak bertunang, ibu bapa tidak ada komitmen ke arah perkahwinan dan mereka tidak akan berfikir tentang anaknya yang telah bertunang, tidak akan terfikir tentang anaknya yang akan berkahwin.
Jika tidak bersedia untuk kahwin, maka tidak boleh kahwin atau tidak boleh membuat majlis perkahwinan. Maka, setelah bertunang, buatlah persediaan untuk perkahwinan walaupun tarikh perkahwinan yang telah ditetapkan adalah lambat lagi atau tarikh perkahwinan belum pun ditetapkan, cuma yang pasti ialah perkahwinan ada 3 tahun lagi atau lebih naif, status perkahwinan hanyalah ‘lambat lagi’.
Buatlah segala persiapan yang boleh dibuat sekarang. Antara persiapan yang boleh dibuat sekarang termasuklah penyediaan kewangan, menghadiri kursus kahwin, membuat ujian kesihatan / HIV, mengisi borang-borang, menempah pakaian, merancang dan membeli barang-barang keperluan seperti barang hantaran, dan sebagainya. Apa persiapan yang boleh dibuat sekarang adalah subjektif bergantung kepada masa. Menghadiri kursus kahwin boleh dibuat walau perkahwinan ada baki 2 tahun lagi. Menempah pakaian mungkin tidak dibuat lagi jika masa baki perkahwinan ada 3 tahun lagi. Semuanya bergantung kepada kebijaksanaan kita menilai masa.
Kenapa mempersiapkan persiapan awal-awal? Pertama, untuk mengelak masalah, kelambatan dan sebagainya menjelang majlis perkahwinan. Tujuan kedua ialah sebagai strategi untuk meraih persetujuan ibu bapa untuk kahwin awal. Apabila semua persiapan telah dibuat, yang tinggal hanyalah acara perkahwinan.  Mempersiapkan persiapan awal-awal menunjukkan kepada ibu bapa bahawa kita mempunyai kehendak yang tinggi, kita mempunyai komitmen yang tinggi dan kita telah berjaya dalam peringkat awal persediaan perkahwinan. Kejayaan cemerlang ini akan mempengaruhi pemikiran dan penilaian ibu bapa kita terhadap isu kahwin awal yang kita hadapi. Ibu bapa akan terfikir bahawa ‘kalau sebelum kahwin kita telah miliki komitmen yang tinggi, insyaAllah selepas kahwin pun kita akan punyai komitmen yang tinggi terhadap rumah tangga yang dibina menyebabkan kita akan berjaya mengendalinya dengan baik’, ‘kalau peringkat awal sebelum perkahwinan kita telah berjaya dan dapat buat dengan baik, insyaAllah selepas perkahwinan juga kita akan dapat buat dengan baik’.
Persiapan yang perlu dibuat bukan setakat persiapan lahiriah semata. Persiapan batiniah sama pentingnya, malah boleh jadi lebih penting. Persiapan batiniah seperti ilmu pengetahuan keagamaan, ilmu kerumahtanggaan, ilmu sara hidup, ilmu dan kemahiran bermasyarakat adalah sangat penting dan diperlukan. Pergunakanlah masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan semua ini. Apabila kita telah siap sedia, barulah ibu bapa lebih yakin untuk membenarkan kita kahwin awal kerana logiknya kita telah bersedia.
Lagi bagaimana memujuk ibu bapa? Berterus terang tentang perasaan kita boleh menjadi salah satu daripada banyak cara yang boleh kita guna untuk memujuk ibu bapa. Untuk kalangan kita yang selalu membuat curhat (curahan hati) dalam perbualan hati ke hati / soft talk dengan ibu bapa, ia mungkin lebih menyenangkan. Untuk kalangan kita yang jarang atau tidak pernah berbuat demikian, ia adalah sesuatu cabaran. Ia mungkin benda yang baru dan mencabar, tetapi ia adalah benda yang tidak mustahil berjaya apabila dicuba. Sebelum ini mungkin kita tidak pernah buat, tetapi tidak salah kalau kita mencubanya buat kali pertama sekarang. Apalagi ia adalah halal. Apalagi ia adalah salah satu cara untuk kita mencapai cita-cita kita. Ya, kita segan, tetapi keseganan kita tidak akan membawa kita ke mana-mana, malah tidak mendekatkan kita kepada cita-cita kita untuk kahwin awal, sedangkan kita mahu kahwin awal. Bukankah keseganan dan kemahuan kahwin awal kita itu sangat ironi. Kalau tak segan untuk kahwin, kenapa perlu segan untuk menyatakan keinginan untuk kahwin. Kalau segan pun, dengan siapa sangatlah kita segan. Mereka ibu bapa kita juga. Dengan berapa orang sangatlah kita segan? Bukannya dengan sejuta orang. Hanya dengan dua orang iaitu ibu bapa kita. Lagipun, keseganan kita itu adakah kerana melakukan perkara salah? Tidak, bukan? Lalu, kenapa kita mesti segan? Kita tidak perlu segan untuk membuat perkara baik, membuat pahala dan mengelakkan dosa, apalagi kahwin adalah sunnah Rasul dan pekerjaan yang mulia. Keseganan itu tidak lain hanyalah perasaan malu tidak bertempat kita yang dimainkan oleh nafsu. Oleh itu, kita perlu berusaha mengatasi keseganan itu. Itulah mujahadah kita. Itulah perjuangan kita. Lantaran itu, insyaAllah pahala sebagai ganjaran untuk kita.
Keseganan itu umpama satu jurang. Sekali kita mengatasinya, seperti kita telah menutup jurang itu dan kita tidak akan segan lagi buat kali yang seterusnya. Maka jika kita sangat malu, buat-buatlah tutup mata atau tebal muka, dan redah saja buat kali pertama, insyaAllah sekejap selepas itu dan untuk kali-kali yang berikutnya, kita merasa tidak segan lagi malah larut dalam curhat yang sangat memberikan kebaikan kepada cita-cita yang ingin kita capai; iaitu kahwin awal.
Ingatlah! Kalau kita tetap memilih untuk terus segan, tanyalah diri apakah keseganan itu menguntungkan kita atau merugikan kita? Jika kita suka kerugian dan cita-cita kahwin awal tidak tercapai, silakanlah dengan keseganan berbicara soal mahu kahwin awal kepada ibu bapa buat selamanya. Lupakahlah saja pahala yang diraih oleh orang yang berkahwin dan kebahagiaan yang hanya mampu dikecapi oleh orang yang kahwin. Salam kepada anda.
Beritahulah ibu bapa terus dari lubuk hati, apa perasaan yang kita alami. Jangan malu-malu, katakan saja pada ibu bapamu kerana mereka sangat memahami, malah lebih memahami daripadamu kerana mereka pun pernah merasa masa muda remaja, masa belum kahwin yang sangat menginginkan pasangan hidup. Itukan fitrah. Siapa boleh lawan fitrah. Yang melawan fitrah hanyalah nafsu.
Katakan saja kepada ibu bapamu bahawa kau cemburu jika benar kau cemburu pada orang-orang di sekelilingmu. Katakan: ‘mereka dapat berseronok berdua padahal mereka belum kahwin’. Katakan kepada ibu bapamu bahawa kamu pun ingin berseronok hidup seperti itu tetapi kamu tidak mahu melanggar syariat Allah. Kerana itu kamu mahu kahwin. Apakah ibu dan ayah tidak simpati dengan kemahuan seorang anak, apalagi dengan kemahuannya yang suci, ingin menjaga agama Allah melebihi daripada kemahuannya untuk berseronok semata-mata.
Katakan saja kepada ibu bapamu bahawa kamu cemburu pada kawan-kawan kelas sekarang atau kawan-kawan sekolah lama masa kecil-kecil dulu yang semuanya sudah berkahwin awal dan hidup gembira, aman bahagia dengan pasangan masing-masing. Memori lama terkadang sangat menyentuh hati. Malah sesetenganya telah mengendong zuriat yang makin menceriakan hidup mereka. Bilanglah dan sebutlah contoh kawan-kawanmu itu. Yang tinggal hanya engkau terkontang-kanting seorang diri dengan mengelek buku pelajaran ke sana ke mari siang malam, petang dan pagi. Sedang kawanmu menikmati kedua-duanya pada masa sama, belajar dan berkeluarga. Kau hanya dapat menikmati satu saja dalam masa yang sama seperti kawanmu itu; belajar. Belajar itu satu kenikmatan? Kenikmatan yang mengatasi kenikmatan berkeluarga? Sungguh dikau telah membazirkan masa memilih satu kenikmatan saja dalam satu masa daripada memilih dua kenikmatan serentak; belajar dan bekeluarga. Inilah kemungkinan isi-isi curhat anda, tetapi mestilah diucapkan dengan bahasa yang cukup halus agar tidak pernah mencalarkan apalagi menghiris hati ibu bapa. Kalau hatinya terhiris, lagilah susah kita ingin mengambil hatinya dan menjayakan agenda dan cita-cita kita; kahwin awal.
Ibu bapa mungkin berkata ‘kahwin masa belajar itu susah, banyak masa mesti diguna untuk keluarga’.  Kualiti masa itu bukan pada pendek atau panjangnya masa, atau lapang atau sibuk. Kualiti masa itu terletak pada bagaimana kita menguruskannya dan terletak pada keberkatan pekerjaan yang dilakukan untuk mengisi masa. Berapa banyak orang yang lapang masanya, tetapi hanya beberapa perkara sahaja yang dia dapat buat. Ini kerana pengurusan masanya lemah. Kita lihat orang-orang yang sibuk pula, banyak perkara yang dia berjaya buat walaupun dia sibuk. Ini kerana pengurusan masanya sangat baik. Yang penting ialah membahagikan masa sepatutnya antara kerja keluarga dan kerja akademik serta menggunakan masa yang diperuntukkan itu dengan seoptimumnya, bukan menggunakannya sambil lewa atau sambil membazir-bazirkan masa. Masa untuk belajar benar-benar diguna untuk belajar bukan diguna sambil membazir seperti belajar sambil melayari internet untuk suka-suka, atau belajar sambil chatting internet atau belajar sambil menonton movie. Akibatnya, yang panjang ialah menonton movie, yang pendek ialah belajar, lalu apabila peperiksaan kandas atau dapat pencapaian rendah, pernikahan yang dipersalahkan, sungguh tidak adil!
Gunakanlah masa untuk aktiviti yang halal lagi baik dan bermanfaat saja, barulah masa menjadi berkat dan berkualiti. Jagalah diri dengan ketat dari terjerumus ke dalam aktiviti atau kerja yang tidak berfaedah atau membazirkan masa saja. Hadkanlah diri daripada melakukan kerja yang halal di sisi syariah tetapi tidak ada manfaat atau sikit sahaja manfaatnya. Gunalah masa sebaiknya untuk kerja yang halal, baik lagi banyak manfaatnya untuk diri, keluarga, agama, bangsa dan negara.
Kalau kahwin masa belajar itu susah sebab banyak masa mesti diperuntukkan pada keluarga, kahwin masa bekerja juga susah kerana banyak masa mesti diperuntukkan pada keluarga. Malah, kahwin masa bekerja lebih susah kerana masa bekerja lebih sibuk dan lebih penat. Tanyalah kepada sesiapa sahaja yang telah tamat belajar dan telah bekerja, pasti kalau tidak semua, majority akan berpendapat bahawa masa bekerja adalah jauh lebih sibuk dan penat berbanding masa menjadi pelajar dan belajar. Kalau boleh mereka nak kembali berada di bangku university, mendapatkan elaun setiap bulan, belajar, menyiapkan tugasan dan menjawab peperiksaan saja, tidak perlu penat-penat turun awal pagi, tersekat dalam kesesakan lalu lintas, sibuk di tempat kerja, pulang lewat petang atau awal malam, memikirkan masalah kerja yang tak selesai-selesai. Tapi tak kan lah disebabkan demikian sibuk dan penat bekerja, kita tidak mahu kahwin. Apalagi kalau kahwin masa belajar? Lagilah lebih lega.
Bukankah kahwin itu jalan untuk berehat dari kepenatan dan kesibukan? Perkahwinanlah yang merawat kepenatan. Kebahagian dan ketenangan hidup berkeluarga dapat merawat kepenatan kerja. Perkahwinanlah yang menyebabkan kita berusaha mencari masa untuk berehat dari kesibukan. Kalau kita tidak ada komitmen perkahwinan, nescaya kita akan terus berpanjangan sibuk kerana kita tidak perlu berehat untuk memberi laluan kepada komitmen perkahwinan. Kalau pada kesibukan dan kepenatan kerja yang lebih sibuk dan penat itu boleh-boleh saja kita mengendali perkahwinan dan keluarga, masa belajar yang kurang sibuk dan penat berbanding masa bekerja adalah masa yang lebih baik untuk berkahwin dan memulakan dan mengendalikan hidup berkeluarga. Semoga bahagia!
Banyak lagi cara yang boleh diguna untuk memujuk ibu bapa. Yang penting ialah ikhlas dan kreatif. Dan yang lebih penting ialah kita sungguh-sungguh ingin membuktikan kita boleh melakukannya, boleh berkahwin dan boleh mengendalikan keluarga sambil belajar dengan baik. Sebenarnya, mengendalikan keluarga semasa masih belajar jauh lebih senang daripada mengendalikan keluarga masa sudah bekerja.
Keadaan menyedihkan bagi pasangan kita dan kesediaan kita untuk kahwin boleh digunakan sebagai asas kuat untuk memujuk ibu bapa membenarkan perkahwinan masa belajar. Sebagai contoh, kita seorang pelajar yang mempunyai masa satu tahun lagi untuk tamat belajar serta telah siap sedia untuk kahwin dan pasangan kita telah tamat belajar dan sedang bekerja serta sedang menunggu kita untuk kahwin. Kita boleh mempengaruhi ibu bapa kita dengan menggambarkan kesimpatian kita terhadap pasangan kita yang telah siap untuk kahwin tetapi terpaksa menunggu kita selama setahun atau berapa tempoh masa lagi untuk mengecapi nikmat kebahagiaan, sedang di sepanjang tempoh penungguan itu adalah penyiksaan kepada batinnya. Ibu bapa yang berjiwa halus dan memahami perasaan orang lain akan bertimbang rasa dalam hal sebegini. Setidak-tidaknya, dengan menggunakan cara rayuan ini, syarat kahwin hanya selepas tamat belajar mungkin dikurangkan kepada kahwin setengah tahun sebelum tamat belajar. Sebenarnya, ibu bapa takut terhadap perkahwinan awal yang akan melahirkan bayi semasa anaknya masih belajar. Ibu bapa bimbang anaknya tidak dapat menunaikan tanggung jawab sebagai pelajar dengan baik disebabkan kehadiran dua tanggung jawab besar lain iaitu sebagai isteri dan ibu.
Menangani isu mendapatkan izin ibu bapa untuk kahwin awal semasa belajar adalah seni. Ia mesti dibuat dengan halus, dan perlahan-lahan, tidak boleh dengan kasar dan tergopoh-gapah. Kekasaran akan menyebabkan ibu bapa terguris hati, tidak kira sama ada hasilnya dia mengizinkan kahwin awal atau tidak, tetapi menyakiti hati ibu bapa adalah dosa. Perbincangan dengan ibu bapa secara baik adalah kewajipan. Kita tidak boleh berbuat sesuka hati dan membelakangkan kata-kata ibu bapa kerana kebahagiaan hidup kita adalah terletak kepada redha ibu bapa.
Ibu bapa biasanya bukanlah ingin  menentang kehendak anaknya. Keengganan mereka bukan disebabkan mereka saja-saja ingin menentang kehendak anaknya atau tidak kasih kepada anaknya. Tetapi keengganan ibu bapa adalah kerana kasih mereka kepada anak mereka. Mereka tidak mahu anak mereka susah di masa hadapan, lalu mereka lebih berhati-hati sehingga mereka takut untuk membenarkan anak mereka kahwin awal. Ibu bapa biasanya berfikir masak-masak dan dalam-dalam terhadap perkara ini berbanding anak-anak yang relatifnya masih muda, mereka tidak berfikir panjang dan dalam sangat kerana anak-anak yang masih muda mempunyai semangat ingin mencuba yang tinggi dan semangat yang tinggi untuk menghadapi segala cabaran. Mereka sanggup menghadapi hidup yang akan turun naik dilambung ombak sementara ibu bapa pula bimbang kehadiran ombak yang akan melambung naik turun kehidupan anak mereka lalu mereka lebih suka anak mereka memilih untuk hidup di lautan tenang sahaja (ie tidak kahwin awal masa belajar).
Perkara ini sama dengan ketakutan ibu bapa untuk melepaskan anak kecil bermain air sungai atau memanjat pokok, kerana ia berisiko. Ibu bapa takut melepaskan anak untuk berkahwin awal semasa belajar kerana ia berisiko. Tetapi, ibu bapa yang bijak tidak dengan buta tuli melarang anak mereka bermain air sungai atau memanjat pokok sebaliknya mereka mengajar anak-anak bagaimana untuk berenang dan memanjat pokok serta mengawal anak-anak yang masih baru kepada sungai dan pokok agar bermain di air cetek sahaja dan memanjat pokok rendah sahaja. Apabila mereka sudah pandai berenang dan memanjat dengan hebat, barulah dilepaskan ke air lebih dalam dan pokok lebih tinggi. Jika sejak awal-awal lagi kanak-kanak dilarang bermain air atau memanjat pokok, malah tidak pula diajar berenang dan memanjat, sampai bila-bila pun mereka tidak akan pandai malah suatu hari mereka mungkin mencuri-curi untuk berenang atau memanjat sendiri tanpa ajaran lalu menyebabkan perkara tidak diingini seperti lemas, atau mati lemas, atau cedera terjatuh dari pokok.
Demikianlah perkahwinan. Ibu bapa yang bijak tidak akan melarang perkahwinan dan berdiam diri. Ibu bapa yang bijak akan memandu anak-anak, membantu menunjuk jalan, memberi ajaran, memberi sokongan dan bantuan kepada anak-anak yang memilih untuk kahwin awal semasa belajar. Ibu bapa perlu memberi lebih bantuan dan sokongan hanyalah pada peringkat awal perkahwinan sahaja. Apabila perkahwinan anak-anak telah melalui satu tempoh kematangan, mereka telah stabil dan telah menjumpai rentak kehidupan mereka, maka ibu bapa tak perlu bersusah payah lagi malah boleh senyum gembira kerana anak mereka kini telah ‘selamat’. Selamat diijabkabulkan dan selamat mendirikan rumah tangga.
Apapun yang terjadi, baik susah atau senang, hadapilah ia dengan sabar dan redha, agar setiap detik itu menjadi tarbiah, ibadah dan berpahala. Apapun yang terjadi, tempat rujukan terbaik, tempat permintaan terbaik dan tempat pengaduan terbaik adalah kepada Allah swt yang Maha Membolak-balikkan Hati. Hari ini mungkin tidak boleh, siapa tahu esok boleh, minggu depan boleh, bulan depan boleh atau tahun depan boleh.
Sebesar apapun masalah dalam urusan ini, masalah ini tak pernah lebih besar daripada Urusan di Padang Mahsyar. Maka, hadapilah sebesar apa pun cabaran ini sebagai sebuah hal yang kecil saja. Bisa-bisa saja diselesaikan, asalkan mau usaha, kerana setiap ubat ada penawar kecuali mati. Setiap masalah ada penyelesaian.
Seteruk apa pun diri kita, kita jauh lebih baik daripada orang yang cacat anggotanya, orang-orang yang meminta-minta di tepi-tepi jalan, orang-orang yang hidup dalam ketakutan medan perang. Walhamdulillah rab al aalamin

IMPIAN KASIH


Wanita baik itu dijanjikan untuk lelaki yang baik dan sebaliknya.Telah terungkap sebaris nama lelaki di Loh Mahfuz untukmu. Cuma peribadinya ditentukan oleh sejauh mana ketinggian peribadimu. Jika kau thabat di atas jalan yang diredhai, insyaAllah, si dia turut di jalan yang sama. Wahai diri, lupakan segala kegundahan, teguhkan diri pada CINTA HAKIKI nescaya cinta lelaki soleh turut kau miliki. Senyumlah pada sinar yang menantimu di hadapan... Ya Allah, teguhkan aku di jalanMu, agar si dia turut berada dalam redhaMu... Ya Allah, perindahkanlah akhlakku, agar si dia turut dihiasi akhlak yang cantik... Ya Rahman, aku mohon CINTAMU...agar jiwa ini terisi, hati ini terus tenang dalam dakapan KASIHMU... Ya Rahim, aku mohon pelihara si dia walau di mana jua dia berada...dekatkan dia padaMu Ya Rabb..kerana sesungguhnya tidak ada sebaik-baik pelindung selainMU.

Sunday, 22 July 2012

INDAHNYA RAMADHAN


alt
" Sesungguhnya telah hadir bulan Ramadhan, bulan berkat, Allah telah mewajibkan ke atas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu Syurga, ditutup rapat pintu Neraka dan ditambat para Syaitan, Di bulan ini terdapat satu malam yang terbaik dari seribu bulan. Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya sesungguhnya dia rugi. "

(Hadis Riwayat Ahmad dan an-Nisai)


Dan puasa itu merupakan perisai, maka janganlah seseorang yang berpuasa itu berkata keji dan meninggikan suara atau mencaci maki. Dan seandainya dicaci oleh seseorang atau diajaknya berkelahi hendaklah dijawabnya: "saya ini berpuasa, saya ini berpuasa!" (Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan an-Nisa'i)


Secara tidak langsung, amalan dipertingkatkan pahala digandakan, ilmu juga ku perolehi. Alhamdulillah, ALLAH masih memberiku kesempatan untuk sama-sama meraikan bulan yang penuh keberkatan ini dengan pengisian amalan dan ilmu.


" Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan memberi manfaat kepada orang-orang yang beriman."

(Surah Azzariyat: 57)


"Demi masa, sesungguhnya manusia benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati dengan kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran."

(Surah al-Asr: 1-3)

Sepuluh hari permulaan puasa ku mengharapkan rahmat dari ALLAH, sepuluh hari mendatang ku mengharapkan maghfirah dan sepuluh hari di penghujungnya ku mengharapkan kebebasan dari api Neraka.
Ramadhan,
Jika dulu aku sia-siakan kedatanganmu,
Kini aku menghargai kedatanganmu,
Setiap harimu, tak ku biarkan ia berlalu begitu sahaja,
Biarpun walau sedetik,
Ku alunkan irama merdu kitab Kalamullah,
Bait-bait indah ku hayati satu persatu,
Helaian demi helaian,
Terasa damainya hati,
Tatkala irama merdu itu berkumandang.
Ramadhan,
Jika dulu aku sia-siakan pemergianmu,
Kini pemergianmu ku tangisi,
Aku rindukan saat-saat indah bersamamu ya Ramadhan,
Aku rindukan solat sunat Terawih,
Aku rindukan taddarus al-Quran,
Aku rindukan malam Lailatul Qadar
Aku rindukan siang dan malammu ya Ramadhan,
Rindu siangmu untuk berpuasa,
Rindu malammu untuk berterawih,
Rindu siang dan malammu untuk menggandakan pahala.
Ramadhan,
Andai aku diberi peluang,
Melayari hari-harimu yang mendatang,
Tidak akan aku persiakan,
Akan ku penuhi hari-harimu,
Dengan amalan yang berlipat kali ganda.
Insya-Allah.
"Puasa Itu Sebahagian Daripada Kesabaran."
-Artikel iluvislam.com

Friday, 20 July 2012

Aisyah Binti Abu Bakar R.HA: ISTERI YANG KREATIF MEMPAMERKAN CINTANYA :)




copy from blog Ustazah Fatimah Syarha :)

bacalah untuk tauladan bersama. semoga kita semua menjadi isteri yang solehah. insya Allah :)

Saidatina Aisyah r.ha adalah isteri kesayangan Nabi selepas wafatnya isteri pertama yang tidak pernah dimadukannya, Saidatina Khadijah r.ha.

Lumrah Cinta

Lumrah cinta, seorang kekasih paling cenderung pada seorang sahaja kekasih dalam bab hati dan perasaan. Tiada seorang lelakipun di dunia ini yang mampu berlaku adil dalam hal cinta. Keadilan hanya mampu berlaku dalam hal luaran semata-mata. Begitulah kecenderungan cinta Rasulullah SAW kepada Aisyah r.ha, ia bukan lagi satu rahsia.

Siapakah wanita pertama di hati Rasulullah SAW selepas Khadijah r.ha? Bukan Saudah r.ha sebaliknya Aisyah r.ha. Baginda menikahi Saudah r.ha dan Aisyah r.ha pada masa yang sama. Saudah ketika itu merupakan janda yang sudah tua, uzur, gemuk dan tidak menarik. (Rujuk Mahmud al-Mishri, 35 Sirah Shahabiyah). Memandangkan Aisyah r.ha masih kecil, Saudah r.ha lebih dahulu berada di sisi Nabi setelah Khadijah r.ha. Namun, Aisyah r.ha lebih dahulu memenangi hati dan cinta baginda berbanding Saudah r.ha.
Allah SWT banyak kali menghadirkan mimpi tentang wanita suci bernama Aisyah r.ha. sebelum hadirnya Saudah r.ha. Dalam kecemburuan, Aisyah redha seorang demi seorang janda-janda yang perlukan pembelaan, menumpang kasih suaminya.Kenapa? Kerana dia sedar semua itu hanya untuk kepentingan Islam, bukan kepentingan nafsu baginda. Oleh sebab lumrah cinta yang tiada ‘dua’ ini, tidak hairanlah, Prof. Dr. Mahmud Zuhdi menjelaskan dalam bukunya yang terkenal, Undang-undang Keluarga Islam bahawa majoriti ulama mengatakan poligami itu diharuskan bukannya digalakkan.

Kelebihan Aisyah r.ha.

Aisyah r.ha berbicara, “Ada 7 kelebihanku yang tidak dimiliki wanita lain kecuali kelebihan yang diberikan Allah kepada Maryam binti I’mran. Demi Allah, dengan mengatakan hal ini aku tidak bermaksud membanggakan diriku atas teman-temanku (isteri-isteri Rasulullah yang lain).”

Abdullah bin Shafwan bertanya, “Apa 7 kelebihan itu wahai ummul mukminin?”


Aisyah r.ha menjawab,


1)Malaikat (Jibril) membawa imejku kepada Rasulullah SAW (dalam mimpi).


2)Rasulullah SAW menikahiku saat diriku berumur 7 tahun, lalu aku diserahkan serumah dengan baginda saat berusia 9 tahun. Baginda menikahiku saat aku perawan.


3)Beliau menerima wahyu ketika sedang berada dalam satu selimut denganku.


4) Aku adalah orang yang paling dicintai oleh baginda dan puteri dari orang yang paling baginda sayangi (Abu Bakr).


5) Allah menurunkan beberapa ayat-ayat Al-Quran kerana aku di saat umat hampir celaka kerananya.


6) Aku pernah melihat Jibril dan tidak ada seorangpun di antara isteri-isteri Rasulullah lainnya yang pernah melihatnya.


7) Rasulullah SAW meninggal di rumahku pada saat tidak ada orang yang menguruskannya, selain diriku dan malaikat.


(Al-Haitsami berkata dalam kitab Majma’uz Zawaid, no. 15308, “Riwayat ini tercantum dalam kitab Ash-Shahih dengan ringkas sementara riwayat di atas dari Thabrani. Para perawi dalam salah satu sanat riwayat Thabrani adalah perawi-perawi kitab al-Shahih. Rujuk juga riwayat Hakim, vol.4, hlm. 10. Hakim menyatakan hadis ini sahih dan al-Zahabi menyetujuinya).

Kedudukan Aisyah r.ha di Hati Rasulullah
Dalam riwayat lain, Aisyah r.ha bercerita, “Rasulullah SAW masuk ke rumahku dan baginda mendapatiku sedang menangis. Baginda bertanya, “Mengapa dinda menangis?” Aku menjawab, “Fatimah menghinaku.” Rasulullah SAW segera memanggil Fatimah lalu berkata, “Wahai Fatimah, apakah benar anakanda menghina Aisyah?” Fatimah menjawab, “Benar, wahai Rasulullah.” Rasulullah SAW berkata, “Bukankah anakanda mencintai apa yang ayahanda cintai?” Fatimah menjawab, “Sudah tentu.” Rasulullah SAW berkata, “Sesungguhnya ayahanda mencintai Aisyah, maka cintailah dia.” Fatimah berkata, “Kalau begitu, saya tidak akan pernah mengatakan sesuatu yang dapat menyakiti Aisyah lagi.” (Al-Haitsami berkata dalam kitab Majma’uz Zawaid, no.15311, perawi-perawi lainnya adalah para perawi kitab al-Sahih


Cemburu Aisyah Bukan Kekurangan Tapi Tanda Besarnya Cinta

Aisyah menceritakan, “Suatu ketika Rasulullah SAW berkata kepadaku, ‘Sesungguhnya kanda tahu bila dinda sedang senang kepada kanda dan bila dinda sedang marah.’ Aku bertanya, ‘Bagaimana kanda tahu?’ Baginda menjawab, ‘Jika dinda sedang senang kepada kanda, maka dinda akan mengatakan, demi Tuhan Muhammad! Tapi jika sedang marah, dinda akan mengatakan, tidak, demi Tuhan Ibrahim! Aisyah berkata, ‘Itu benar. Demi Allah ! Dinda hanya mampu menjauhi namamu.’” (Muttafaqun Alaih).
Imam al-Nawawi berkata, “Mengenai pernyataan Rasulullah kepada Aisyah ini, al-Qadhi berkata, ‘Kemarahan Aisyah kepada Nabi adalah dalam bentuk kecemburuan kepada baginda. Kecemburuan menjadi faktor tidak berlakunya sekian banyak hukum bagi wanita kerana ia tidak dapat dipisahkan daripadanya. Bahkan Imam Malik dan ulama-ulama Madinah lainnya berpendapat, tidak berlaku bagi wanita yang menuduhnya suaminya berzina ketika ia sedang cemburu. Pendapat ini berdasarkan hadis Nabi, ‘Wanita cemburu tidak dapat membezakan antara bibir lembah dan dasarnya.”
Jika pengertian hadis di atas tidak bermaksud kemarahan kerana cemburu, maka Aisyah berada dalam kedudukan yang sangat sulit kerana marah dan menjauhi Rasulullah SAW merupakan dosa besar. Untuk itu Aisyah r.ha berkata, “Dinda hanya mampu menjauhi namamu.” Ini menunjukkan perasaan hati dan kecintaannya kepada Rasulullah SAW tetap seperti sedia kala. Kecemburuan wanita didorong oleh rasa cinta yang terlalu besar.” (Rujuk Shahih Muslim bi Syarh al-Nawawi, vol.15. hlm.292-293).


Minta Digigit Ular dan Kala Jengking agar Mendapat Perhatian Suami Aisyah mengatakan bahawa jika Rasulullah SAW hendak melakukan perjalanan jauh, maka baginda akan mengundi siapa di antara isterinya yang akan menemani baginda. Suatu ketika, Aisyah dan Hafsah terpilih sehingga mereka berdua sama-sama mengikuti baginda. Selama dalam perjalanan, Rasulullah SAW memilih waktu malam untuk berjalan dan berbincang dengan Aisyah. Oleh sebab itu, pada suatu hari Hafsah berkata kepada Aisyah, “Apakah awak bersedia jika malam ini, saya menaiki unta awak dan awak menaiki unta saya, lalu kita tetap menjaga jarak hingga kita dapat saling melihat.” Aisyah bersetuju.


Saat malam tiba, Aisyah menaiki unta Hafsah, sedangkan Hafsah menaiki unta Aisyah. Kemudian datanglah Rasulullah dan naik di bahagian depan unta Aisyah yang kali ini membawa Hafsah. Setelah mengucapkan salam, beliau menjalankan untanya hingga beristirehat di suatu tempat. Saat itulah Aisyah tidak dapat mengikutinya dan kehilangan jejak Rasulullah, maka rasa cemburunya tidak dapat dibendung. Ketika Aisyah sampai di tempat istirehat, beliau lalu menyelitkan kakinya antara daun-daun idzkir lalu berkata, “Ya Tuhanku, suruhlah kala jengking dan ular menggigitku. Rasul-Mu, entah apa yang dilakukannya, sedangkan aku tidak mampu berkata apa-apa. (HR Muslim, no.2445, kitab Fadhailus Sahabah, bab Fii Fadhl Aisyah r.ha.).

Bertanyakan Cinta Lalu Dihiburkan Suami dengan Lafaz Cinta

Aisyah r.ha mengatakan bahawa dia pernah bertanya, “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling kanda cintai?” Baginda bertanya balik, “Kenapa dinda bertanya seperti itu?” Aisyah menjawab, “Dinda ingin mencintai orang yang kanda cintai.” Baginda menjelaskan, “Dia adalah Aisyah.” (Al-Haitsami berkata dalam kitab Majma’uz Zawaa’id no.15309, hadis ini diriwayatkan oleh Thabrani. Sanadnya hasan.)


Lebih Memilih Zuhud daripada Meminta-minta dengan Suami


Urwah mengatakan bahawa Aisyah r.ha berkata, “Demi Allah, wahai anak saudaraku, kami pernah melihat kemunculan bulan sabit, lalu bulan sabit berikutnya, lalu bulan sabit berikutnya, yakni tiga kali kemunculan bulan sabit atau dua bulan berturut-turut, di rumah-rumah Rasulullah sama sekali tidak dinyalakan api (untuk memasak).”

Urwah bertanya, “Lalu dengan apa mereka dapat bertahan hidup?” Aisyah menjawab, “Dengan al-Aswadaan, yakni kurma dan air. Hanya sahaja, Rasulullah SAW mempunyai beberapa tetangga daripada kalangan ansar yang mempunyai kambing. Mereka sering mengirimkan susunya kepada beliau. Lalu beliau memberikan kepada kami.” (Muttafaqun a’laih).

Cerita tentang kezuhudan Aisyah terlalu banyak. Dia memilih kesederhanaan walaupun sering kali dilimpahkan kekayaan. Antara ceritanya yang mahsyur ialah, Urwah pernah menggambarkan gaya hidup Aisyah bahawa dia pernah membahagi-bahagikan 70,000 dirham wang perak padahal saat yang sama, dia menampal jahitan pakaiannya. (al-Zuhd, Imam Ahmad, hlm. 205-206).
Suatu ketika, Muawiyah pernah mengirimkan 100,000 dirham kepada Aisyah. Maka Aisyah langsung membahagi-bahagikannya tanpa meninggalkan sedikitpun. Sehingga Barirah berkata kepadanya, “Sesungguhnya puan sedang berpuasa. Mengapa puan tidak tinggalkan satu dirham sahaja untuk membeli daging?” Aisyah lalu berkata, “Kalau tadi awak ingatkan saya, sudah tentu saya melakukannya.” (Riwayat Abu Nu’aim dalam kitab al-Hilyah, vol.2. hlm 7).

Banyak Solat dan Puasa

Urwah menuturkan bahawa Aisyah selalu berpuasa. Al-Qasim mengatakan bahawa Aisyah berpuasa sepanjang masa. Ia hanya berbuka (tidak puasa), pada hari Aidul Adha dan Aidul Fitri.


Dalam riwayat lain, Urwah menceritkan bahawa setiap hari, dia memulai kegiatannya dengan mengunjungi ibu saudaranya, Aisyah r.ha untuk mengucapkan salam kepadanya. Pada suatu hari, dia pergi ke rumahnya, ketika itu dia sedang solat dan berdoa. Aisyah terus berdoa dan menangis sambil mengulang-ulang bacaan Surah al-Thur, ayat 27 yang bermaksud, “Maka Allah member kurnia kepada kami dan memelihara kami dari azab neraka.” Urwah berdiri dengan lama hingga dia pergi dahulu ke pasar untuk membeli keperluan. Apabila dia kembali semula ke rumah Aisyah, dia melihat Aisyah masih lagi solat dan menangis.

Tahan Ujian

Aisyah mengikuti Rasulullah SAW dalam perang Musthaliq setelah undian. Sepulangnya beliau daripada perang ini, beliau telah mendapat ujian berat berupa fitnah tentang perlakuan sumbang. Ia bermula apabila beliau kehilangan kalung lalu mencarinya sehingga tertinggal rombongan. Kebetulan Shafwan bin Mua’ththal as-Sullami berjalan di belakang. Apabila melihat Aisyah, dia lalu membiarkan Aisyah menaiki untanya lalu dituntun menyusuli rombongan.Fitnah menular dengan cepat sehingga Rasulullah bersedih.


Aisyah yang yakin dengan pembelaan Tuhannya, hanya mampu bersabar. Akhirnya, Allah membersihkan Aisyah daripada fitnah itu dengan turunnya ayat-ayat Al-Quran yang akan terus dibaca sepanjang zaman.


Pemalunya Menghias Iman

Ummul Mukminin Aisyah berkata, “ Setiap kali aku masuk ke rumahku yang di dalamnya telah dimakamkan jasad Rasulullah SAW dan ayahku sendiri, dan hendak membuka baju, aku berkata dalam hati, ‘Tidak perlu malu kerana di sini hanya ada suamiku dan ayahku sendiri.’ Tetapi setelah Umar RA dimakamkan di tempat yang sama, demi Allah, setiap kali berada di dalam rumah, aku selalu memakai pakaian lengkap, kerana malu kepada Umar RA (Bahjatul Majaalis, al-Qurthubi).

Sungguh indah peribadi murobbiah kita yang malu kepada insane-insan yang sudah tidak bernyawa. Namun realiti hari ini, sejauh mana rasa malu wanita-wanita kita .
Mengikuti Jejak Kekasihnya

Qais mengatakan bahawa Aisyah r.ha pernah bercita-cita ingin dikuburkan di dalam rumahnya, di sisi suami tercinta, tetapi kemudian beliau berkata, “Sesungguhnya aku melakukan suatu kesalahan setelah perginya Rasulullah SAW. Maka, kuburkanlah jasadku bersama ister-isteri baginda yang lain.” Oleh sebab itu, Aisyah dikuburkan di Baqi’, semoga Allah meredainya. (Diriwayatkan oleh Ibnu Sa’ad, vol. 8, hlm 74).
Maksud ucapan Aisyah, melakukan satu keslaahan, adalah terlibat dalam perang Jamal. Aisyah
sangat menyesalinya walaupun dia sebenarnya langsung tidak berniat ke arah itu. Dia cuma berijtihad melakukan kebaikan, sebagaimana dilakukan oleh Thalhah bin Ubaidillah, Zubair bin Awwam dan sahabat-sahabat yang lain, semoga Allah meredai mereka kesemuany

Pada bulan Ramadhan, tahun 58 Hijriah, Ummul Mukminin Aisyah r.ha menghembuskan nafasnya yang terakhir dan kembali ke pangkuan Tuhannya dengan penuh keredaan. Ketika perginya Aisyah r.ha, Ummu Salamah mengumumkan, “Demi Allah, dia adalah orang yang paling dicintai Rasulullah SAW, selain ayahnya.” Jasad Aisyah r.ha dimakamkan pada malam itu juga tepat setelah solat witir.
p/s : semoga aku juga dapat menjadi wanita sebaik ummul mukminin Aisyah RA :) terharu baca perjuangan kekasih yang dicintai Rasulullah ni :')