Tentang memujuk ibu bapa agar dapat kahwin awal atau meyakinkan ibu bapa bahawa perkahwinan semasa belajar tidak akan membawa mudarat pada pelajaran, sesungguhnya, tidak ada jalan konkrit atau hitam dan putih dalam menangani hal ini. Ia adalah sesuatu yang subjektif dan tergantung kepada kebijaksanaan (hikmah), kepandaian berstrategi (berpolitik) dan kemahiran sosial-emosional ‘mempengaruhi’. Ia mungkin menghadapi respon ibu bapa yang sangat keras, sangat lembut atau sederhana.
Yang dimaksudkan dengan respon ibu bapa yang sangat keras ialah ibu bapa tetap berkeras tidak mahu anaknya kahwin semasa belajar walau apa sekali pun alasan. Ibu bapa tetap berkeras tidak mahu anaknya kahwin semasa belajar walaupun telah dipujuk rayu dan bermacam-macam usaha melobi dan sesi penerangan telah dibuat oleh anaknya. Yang dimaksudkan dengan respon ibu bapa yang sangat lembut ialah ibu bapa asalnya sangat berkeras tidak mahu anaknya kahwin semasa belajar, tetapi selepas sedikit usaha melobi daripada anaknya yang sangat berkesan di hatinya, lalu dia berubah fikiran membenarkan anaknya kahwin semasa belajar malah memberi bantuan dan sokongan.
Yang dimaksudkan dengan respon ibu bapa yang sederhana ialah ibu bapa pada awalnya tidak mahu anaknya kahwin semasa belajar, tetapi selepas usaha melobi yang berpada daripada anaknya, dia akhirnya membenarkan. Apa yang lebih penting untuk difahami, dihayati dan diredhai ialah; di balik semua ini, di balik 3 jalan kemungkinan ini, kita tidak mempunyai sedikit pun kuasa untuk menjamin bahawa apa yang kita mahu itu pasti kita dapat dengan usaha kita, kerana yang berusaha ialah kita tetapi yang menentukan segalanya ialah Allah swt.
Jika Allah telah menentukan jalan sukar / jalan sangat keras untuk kita, layakkah kita untuk tidak menyetujui Ketentuan Allah atau apalagi memberontak? Sesungguhnya, itu ujian Allah kepada kita untuk mengetahui keimanan kita dan untuk mengganjarkan syurga jika kita sabar. Yang boleh kita buat hanyalah redha dan sabar, serta terus berusaha dengan baki kemampuan yang masih ada. Sebagai imbalan redha dan sabar kita ialah pahala dan syurga insyaAllah, dan kemanisan serta kebahagiaan dalam perkahwinan selepas ia dibina. Siapakah yang lebih berkuasa daripada Allah untuk memberi balasan kepada kita?
Jika kita diberi jalan senang, maka ia adalah bonus untuk kita. Dan yang sepatutnya kita buat ialah bersyukur sebanyak-banyaknya. Jika kita dikurnia jalan sederhana, maka itu sudah memadai kepada kita. Menunggu 2 tahun untuk berkahwin jauh lebih bahagia daripada asalnya menunggu 3 tahun untuk kahwin. Menunggu 1 tahun untuk kahwin jauh lebih berharga dari asalnya menunggu 2.5 tahun untuk kahwin.
Bagaimana membuat usaha memendekkan tempoh penantian, daripada 3 menjadi 2 atau 2 menjadi 1 atau 2 menjadi 0 tahun? Sekali lagi ingatlah kejayaan itu bukan bergantung kepada usaha teknikal semata. Tetapi usaha teknikal adalah sesuatu kewajipan atau asas kejayaan. Selain usaha, doa dan tawakkal adalah adalah senjata yang sangat berkuasa kerana yang mengendalikan senjata ini ialah Yang Maha Kuasa, Allah swt.
Jika tidak bersedia untuk kahwin, maka tidak boleh kahwin atau tidak boleh membuat majlis perkahwinan. Maka, setelah bertunang, buatlah persediaan untuk perkahwinan walaupun tarikh perkahwinan yang telah ditetapkan adalah lambat lagi atau tarikh perkahwinan belum pun ditetapkan, cuma yang pasti ialah perkahwinan ada 3 tahun lagi atau lebih naif, status perkahwinan hanyalah ‘lambat lagi’.
Buatlah segala persiapan yang boleh dibuat sekarang. Antara persiapan yang boleh dibuat sekarang termasuklah penyediaan kewangan, menghadiri kursus kahwin, membuat ujian kesihatan / HIV, mengisi borang-borang, menempah pakaian, merancang dan membeli barang-barang keperluan seperti barang hantaran, dan sebagainya. Apa persiapan yang boleh dibuat sekarang adalah subjektif bergantung kepada masa. Menghadiri kursus kahwin boleh dibuat walau perkahwinan ada baki 2 tahun lagi. Menempah pakaian mungkin tidak dibuat lagi jika masa baki perkahwinan ada 3 tahun lagi. Semuanya bergantung kepada kebijaksanaan kita menilai masa.
Kenapa mempersiapkan persiapan awal-awal? Pertama, untuk mengelak masalah, kelambatan dan sebagainya menjelang majlis perkahwinan. Tujuan kedua ialah sebagai strategi untuk meraih persetujuan ibu bapa untuk kahwin awal. Apabila semua persiapan telah dibuat, yang tinggal hanyalah acara perkahwinan. Mempersiapkan persiapan awal-awal menunjukkan kepada ibu bapa bahawa kita mempunyai kehendak yang tinggi, kita mempunyai komitmen yang tinggi dan kita telah berjaya dalam peringkat awal persediaan perkahwinan. Kejayaan cemerlang ini akan mempengaruhi pemikiran dan penilaian ibu bapa kita terhadap isu kahwin awal yang kita hadapi. Ibu bapa akan terfikir bahawa ‘kalau sebelum kahwin kita telah miliki komitmen yang tinggi, insyaAllah selepas kahwin pun kita akan punyai komitmen yang tinggi terhadap rumah tangga yang dibina menyebabkan kita akan berjaya mengendalinya dengan baik’, ‘kalau peringkat awal sebelum perkahwinan kita telah berjaya dan dapat buat dengan baik, insyaAllah selepas perkahwinan juga kita akan dapat buat dengan baik’.
Persiapan yang perlu dibuat bukan setakat persiapan lahiriah semata. Persiapan batiniah sama pentingnya, malah boleh jadi lebih penting. Persiapan batiniah seperti ilmu pengetahuan keagamaan, ilmu kerumahtanggaan, ilmu sara hidup, ilmu dan kemahiran bermasyarakat adalah sangat penting dan diperlukan. Pergunakanlah masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan semua ini. Apabila kita telah siap sedia, barulah ibu bapa lebih yakin untuk membenarkan kita kahwin awal kerana logiknya kita telah bersedia.
Lagi bagaimana memujuk ibu bapa? Berterus terang tentang perasaan kita boleh menjadi salah satu daripada banyak cara yang boleh kita guna untuk memujuk ibu bapa. Untuk kalangan kita yang selalu membuat curhat (curahan hati) dalam perbualan hati ke hati / soft talk dengan ibu bapa, ia mungkin lebih menyenangkan. Untuk kalangan kita yang jarang atau tidak pernah berbuat demikian, ia adalah sesuatu cabaran. Ia mungkin benda yang baru dan mencabar, tetapi ia adalah benda yang tidak mustahil berjaya apabila dicuba. Sebelum ini mungkin kita tidak pernah buat, tetapi tidak salah kalau kita mencubanya buat kali pertama sekarang. Apalagi ia adalah halal. Apalagi ia adalah salah satu cara untuk kita mencapai cita-cita kita. Ya, kita segan, tetapi keseganan kita tidak akan membawa kita ke mana-mana, malah tidak mendekatkan kita kepada cita-cita kita untuk kahwin awal, sedangkan kita mahu kahwin awal. Bukankah keseganan dan kemahuan kahwin awal kita itu sangat ironi. Kalau tak segan untuk kahwin, kenapa perlu segan untuk menyatakan keinginan untuk kahwin. Kalau segan pun, dengan siapa sangatlah kita segan. Mereka ibu bapa kita juga. Dengan berapa orang sangatlah kita segan? Bukannya dengan sejuta orang. Hanya dengan dua orang iaitu ibu bapa kita. Lagipun, keseganan kita itu adakah kerana melakukan perkara salah? Tidak, bukan? Lalu, kenapa kita mesti segan? Kita tidak perlu segan untuk membuat perkara baik, membuat pahala dan mengelakkan dosa, apalagi kahwin adalah sunnah Rasul dan pekerjaan yang mulia. Keseganan itu tidak lain hanyalah perasaan malu tidak bertempat kita yang dimainkan oleh nafsu. Oleh itu, kita perlu berusaha mengatasi keseganan itu. Itulah mujahadah kita. Itulah perjuangan kita. Lantaran itu, insyaAllah pahala sebagai ganjaran untuk kita.
Keseganan itu umpama satu jurang. Sekali kita mengatasinya, seperti kita telah menutup jurang itu dan kita tidak akan segan lagi buat kali yang seterusnya. Maka jika kita sangat malu, buat-buatlah tutup mata atau tebal muka, dan redah saja buat kali pertama, insyaAllah sekejap selepas itu dan untuk kali-kali yang berikutnya, kita merasa tidak segan lagi malah larut dalam curhat yang sangat memberikan kebaikan kepada cita-cita yang ingin kita capai; iaitu kahwin awal.
Ingatlah! Kalau kita tetap memilih untuk terus segan, tanyalah diri apakah keseganan itu menguntungkan kita atau merugikan kita? Jika kita suka kerugian dan cita-cita kahwin awal tidak tercapai, silakanlah dengan keseganan berbicara soal mahu kahwin awal kepada ibu bapa buat selamanya. Lupakahlah saja pahala yang diraih oleh orang yang berkahwin dan kebahagiaan yang hanya mampu dikecapi oleh orang yang kahwin. Salam kepada anda.
Beritahulah ibu bapa terus dari lubuk hati, apa perasaan yang kita alami. Jangan malu-malu, katakan saja pada ibu bapamu kerana mereka sangat memahami, malah lebih memahami daripadamu kerana mereka pun pernah merasa masa muda remaja, masa belum kahwin yang sangat menginginkan pasangan hidup. Itukan fitrah. Siapa boleh lawan fitrah. Yang melawan fitrah hanyalah nafsu.
Katakan saja kepada ibu bapamu bahawa kau cemburu jika benar kau cemburu pada orang-orang di sekelilingmu. Katakan: ‘mereka dapat berseronok berdua padahal mereka belum kahwin’. Katakan kepada ibu bapamu bahawa kamu pun ingin berseronok hidup seperti itu tetapi kamu tidak mahu melanggar syariat Allah. Kerana itu kamu mahu kahwin. Apakah ibu dan ayah tidak simpati dengan kemahuan seorang anak, apalagi dengan kemahuannya yang suci, ingin menjaga agama Allah melebihi daripada kemahuannya untuk berseronok semata-mata.
Katakan saja kepada ibu bapamu bahawa kamu cemburu pada kawan-kawan kelas sekarang atau kawan-kawan sekolah lama masa kecil-kecil dulu yang semuanya sudah berkahwin awal dan hidup gembira, aman bahagia dengan pasangan masing-masing. Memori lama terkadang sangat menyentuh hati. Malah sesetenganya telah mengendong zuriat yang makin menceriakan hidup mereka. Bilanglah dan sebutlah contoh kawan-kawanmu itu. Yang tinggal hanya engkau terkontang-kanting seorang diri dengan mengelek buku pelajaran ke sana ke mari siang malam, petang dan pagi. Sedang kawanmu menikmati kedua-duanya pada masa sama, belajar dan berkeluarga. Kau hanya dapat menikmati satu saja dalam masa yang sama seperti kawanmu itu; belajar. Belajar itu satu kenikmatan? Kenikmatan yang mengatasi kenikmatan berkeluarga? Sungguh dikau telah membazirkan masa memilih satu kenikmatan saja dalam satu masa daripada memilih dua kenikmatan serentak; belajar dan bekeluarga. Inilah kemungkinan isi-isi curhat anda, tetapi mestilah diucapkan dengan bahasa yang cukup halus agar tidak pernah mencalarkan apalagi menghiris hati ibu bapa. Kalau hatinya terhiris, lagilah susah kita ingin mengambil hatinya dan menjayakan agenda dan cita-cita kita; kahwin awal.
Ibu bapa mungkin berkata ‘kahwin masa belajar itu susah, banyak masa mesti diguna untuk keluarga’. Kualiti masa itu bukan pada pendek atau panjangnya masa, atau lapang atau sibuk. Kualiti masa itu terletak pada bagaimana kita menguruskannya dan terletak pada keberkatan pekerjaan yang dilakukan untuk mengisi masa. Berapa banyak orang yang lapang masanya, tetapi hanya beberapa perkara sahaja yang dia dapat buat. Ini kerana pengurusan masanya lemah. Kita lihat orang-orang yang sibuk pula, banyak perkara yang dia berjaya buat walaupun dia sibuk. Ini kerana pengurusan masanya sangat baik. Yang penting ialah membahagikan masa sepatutnya antara kerja keluarga dan kerja akademik serta menggunakan masa yang diperuntukkan itu dengan seoptimumnya, bukan menggunakannya sambil lewa atau sambil membazir-bazirkan masa. Masa untuk belajar benar-benar diguna untuk belajar bukan diguna sambil membazir seperti belajar sambil melayari internet untuk suka-suka, atau belajar sambil chatting internet atau belajar sambil menonton movie. Akibatnya, yang panjang ialah menonton movie, yang pendek ialah belajar, lalu apabila peperiksaan kandas atau dapat pencapaian rendah, pernikahan yang dipersalahkan, sungguh tidak adil!
Gunakanlah masa untuk aktiviti yang halal lagi baik dan bermanfaat saja, barulah masa menjadi berkat dan berkualiti. Jagalah diri dengan ketat dari terjerumus ke dalam aktiviti atau kerja yang tidak berfaedah atau membazirkan masa saja. Hadkanlah diri daripada melakukan kerja yang halal di sisi syariah tetapi tidak ada manfaat atau sikit sahaja manfaatnya. Gunalah masa sebaiknya untuk kerja yang halal, baik lagi banyak manfaatnya untuk diri, keluarga, agama, bangsa dan negara.
Kalau kahwin masa belajar itu susah sebab banyak masa mesti diperuntukkan pada keluarga, kahwin masa bekerja juga susah kerana banyak masa mesti diperuntukkan pada keluarga. Malah, kahwin masa bekerja lebih susah kerana masa bekerja lebih sibuk dan lebih penat. Tanyalah kepada sesiapa sahaja yang telah tamat belajar dan telah bekerja, pasti kalau tidak semua, majority akan berpendapat bahawa masa bekerja adalah jauh lebih sibuk dan penat berbanding masa menjadi pelajar dan belajar. Kalau boleh mereka nak kembali berada di bangku university, mendapatkan elaun setiap bulan, belajar, menyiapkan tugasan dan menjawab peperiksaan saja, tidak perlu penat-penat turun awal pagi, tersekat dalam kesesakan lalu lintas, sibuk di tempat kerja, pulang lewat petang atau awal malam, memikirkan masalah kerja yang tak selesai-selesai. Tapi tak kan lah disebabkan demikian sibuk dan penat bekerja, kita tidak mahu kahwin. Apalagi kalau kahwin masa belajar? Lagilah lebih lega.
Bukankah kahwin itu jalan untuk berehat dari kepenatan dan kesibukan? Perkahwinanlah yang merawat kepenatan. Kebahagian dan ketenangan hidup berkeluarga dapat merawat kepenatan kerja. Perkahwinanlah yang menyebabkan kita berusaha mencari masa untuk berehat dari kesibukan. Kalau kita tidak ada komitmen perkahwinan, nescaya kita akan terus berpanjangan sibuk kerana kita tidak perlu berehat untuk memberi laluan kepada komitmen perkahwinan. Kalau pada kesibukan dan kepenatan kerja yang lebih sibuk dan penat itu boleh-boleh saja kita mengendali perkahwinan dan keluarga, masa belajar yang kurang sibuk dan penat berbanding masa bekerja adalah masa yang lebih baik untuk berkahwin dan memulakan dan mengendalikan hidup berkeluarga. Semoga bahagia!
Banyak lagi cara yang boleh diguna untuk memujuk ibu bapa. Yang penting ialah ikhlas dan kreatif. Dan yang lebih penting ialah kita sungguh-sungguh ingin membuktikan kita boleh melakukannya, boleh berkahwin dan boleh mengendalikan keluarga sambil belajar dengan baik. Sebenarnya, mengendalikan keluarga semasa masih belajar jauh lebih senang daripada mengendalikan keluarga masa sudah bekerja.
Keadaan menyedihkan bagi pasangan kita dan kesediaan kita untuk kahwin boleh digunakan sebagai asas kuat untuk memujuk ibu bapa membenarkan perkahwinan masa belajar. Sebagai contoh, kita seorang pelajar yang mempunyai masa satu tahun lagi untuk tamat belajar serta telah siap sedia untuk kahwin dan pasangan kita telah tamat belajar dan sedang bekerja serta sedang menunggu kita untuk kahwin. Kita boleh mempengaruhi ibu bapa kita dengan menggambarkan kesimpatian kita terhadap pasangan kita yang telah siap untuk kahwin tetapi terpaksa menunggu kita selama setahun atau berapa tempoh masa lagi untuk mengecapi nikmat kebahagiaan, sedang di sepanjang tempoh penungguan itu adalah penyiksaan kepada batinnya. Ibu bapa yang berjiwa halus dan memahami perasaan orang lain akan bertimbang rasa dalam hal sebegini. Setidak-tidaknya, dengan menggunakan cara rayuan ini, syarat kahwin hanya selepas tamat belajar mungkin dikurangkan kepada kahwin setengah tahun sebelum tamat belajar. Sebenarnya, ibu bapa takut terhadap perkahwinan awal yang akan melahirkan bayi semasa anaknya masih belajar. Ibu bapa bimbang anaknya tidak dapat menunaikan tanggung jawab sebagai pelajar dengan baik disebabkan kehadiran dua tanggung jawab besar lain iaitu sebagai isteri dan ibu.
Menangani isu mendapatkan izin ibu bapa untuk kahwin awal semasa belajar adalah seni. Ia mesti dibuat dengan halus, dan perlahan-lahan, tidak boleh dengan kasar dan tergopoh-gapah. Kekasaran akan menyebabkan ibu bapa terguris hati, tidak kira sama ada hasilnya dia mengizinkan kahwin awal atau tidak, tetapi menyakiti hati ibu bapa adalah dosa. Perbincangan dengan ibu bapa secara baik adalah kewajipan. Kita tidak boleh berbuat sesuka hati dan membelakangkan kata-kata ibu bapa kerana kebahagiaan hidup kita adalah terletak kepada redha ibu bapa.
Ibu bapa biasanya bukanlah ingin menentang kehendak anaknya. Keengganan mereka bukan disebabkan mereka saja-saja ingin menentang kehendak anaknya atau tidak kasih kepada anaknya. Tetapi keengganan ibu bapa adalah kerana kasih mereka kepada anak mereka. Mereka tidak mahu anak mereka susah di masa hadapan, lalu mereka lebih berhati-hati sehingga mereka takut untuk membenarkan anak mereka kahwin awal. Ibu bapa biasanya berfikir masak-masak dan dalam-dalam terhadap perkara ini berbanding anak-anak yang relatifnya masih muda, mereka tidak berfikir panjang dan dalam sangat kerana anak-anak yang masih muda mempunyai semangat ingin mencuba yang tinggi dan semangat yang tinggi untuk menghadapi segala cabaran. Mereka sanggup menghadapi hidup yang akan turun naik dilambung ombak sementara ibu bapa pula bimbang kehadiran ombak yang akan melambung naik turun kehidupan anak mereka lalu mereka lebih suka anak mereka memilih untuk hidup di lautan tenang sahaja (ie tidak kahwin awal masa belajar).
Perkara ini sama dengan ketakutan ibu bapa untuk melepaskan anak kecil bermain air sungai atau memanjat pokok, kerana ia berisiko. Ibu bapa takut melepaskan anak untuk berkahwin awal semasa belajar kerana ia berisiko. Tetapi, ibu bapa yang bijak tidak dengan buta tuli melarang anak mereka bermain air sungai atau memanjat pokok sebaliknya mereka mengajar anak-anak bagaimana untuk berenang dan memanjat pokok serta mengawal anak-anak yang masih baru kepada sungai dan pokok agar bermain di air cetek sahaja dan memanjat pokok rendah sahaja. Apabila mereka sudah pandai berenang dan memanjat dengan hebat, barulah dilepaskan ke air lebih dalam dan pokok lebih tinggi. Jika sejak awal-awal lagi kanak-kanak dilarang bermain air atau memanjat pokok, malah tidak pula diajar berenang dan memanjat, sampai bila-bila pun mereka tidak akan pandai malah suatu hari mereka mungkin mencuri-curi untuk berenang atau memanjat sendiri tanpa ajaran lalu menyebabkan perkara tidak diingini seperti lemas, atau mati lemas, atau cedera terjatuh dari pokok.
Demikianlah perkahwinan. Ibu bapa yang bijak tidak akan melarang perkahwinan dan berdiam diri. Ibu bapa yang bijak akan memandu anak-anak, membantu menunjuk jalan, memberi ajaran, memberi sokongan dan bantuan kepada anak-anak yang memilih untuk kahwin awal semasa belajar. Ibu bapa perlu memberi lebih bantuan dan sokongan hanyalah pada peringkat awal perkahwinan sahaja. Apabila perkahwinan anak-anak telah melalui satu tempoh kematangan, mereka telah stabil dan telah menjumpai rentak kehidupan mereka, maka ibu bapa tak perlu bersusah payah lagi malah boleh senyum gembira kerana anak mereka kini telah ‘selamat’. Selamat diijabkabulkan dan selamat mendirikan rumah tangga.
Apapun yang terjadi, baik susah atau senang, hadapilah ia dengan sabar dan redha, agar setiap detik itu menjadi tarbiah, ibadah dan berpahala. Apapun yang terjadi, tempat rujukan terbaik, tempat permintaan terbaik dan tempat pengaduan terbaik adalah kepada Allah swt yang Maha Membolak-balikkan Hati. Hari ini mungkin tidak boleh, siapa tahu esok boleh, minggu depan boleh, bulan depan boleh atau tahun depan boleh.
Sebesar apapun masalah dalam urusan ini, masalah ini tak pernah lebih besar daripada Urusan di Padang Mahsyar. Maka, hadapilah sebesar apa pun cabaran ini sebagai sebuah hal yang kecil saja. Bisa-bisa saja diselesaikan, asalkan mau usaha, kerana setiap ubat ada penawar kecuali mati. Setiap masalah ada penyelesaian.
No comments:
Post a Comment